SHAH ALAM, 4 NOV: Pembukaan pelbagai akademi bola sepak umpama mekarnya cendawan selepas hujan kian menarik minat masyarakat khususnya ibu bapa yang mahu bakat terpendam anak-anak diterjemah ke lapangan.
Selain mendidik generasi muda mencintai sukan dan bergiat aktif dalam aktiviti berfaedah, persoalan yang masih hangat diperkatakan sejak sekian lama adalah ke mana hala tuju bakat-bakat muda itu selepas mempamer aksi cemerlang di peringkat akar umbi?
Satu ketika dahulu, program realiti televisyen Mencari Ramli dan penubuhan pasukan myTeam pada 2006 antara kisah yang pernah mewarnai pentas bola sepak tempatan namun akhirnya nasib ramai 'ubi' muda dilihat gagal menembusi pasaran liga profesional seperti diharapkan.
Ketiadaan mekanisme rasmi yang menghubungkan akademi bola sepak dengan kelab besar atau liga remaja di peringkat tertinggi membantut usaha berkenaan yang akhirnya mematikan impian pelbagai pihak.

Naib Pengerusi Superzass FC Shaharil Anuar Sharuddin berkata ramai pemain muda berharap potensi mereka menarik perhatian pencari bakat sekali gus membuka peluang untuk ke liga lebih kompetitif.
"Persaingan dalam bola sepak memang sengit. Kalau peringkat tinggi, pemain luar pula ramai tetapi akademi kecil-kecil ini tak boleh patah semangat. Kalau kita pun patah semangat, habislah.
"Banyak akademi ditubuhkan macam cendawan lepas hujan bagus untuk persaingan. Boleh cungkil bakat terpendam, banyak pilihan kerana 'pool' pemain lebih besar.
"Dulu 'pool' kita kecil sebab tiada akademi tetapi sekarang akademi banyak dan ada tahap-tahap tertentu tetapi perlu ada saluran untuk pemain naik lebih tinggi," katanya kepada Media Selangor.
Selain akademi berprestasi tinggi seperti Akademi Mokhtar Dahari dan Akademi Johor Darul Takzim, pemilik bersama kelab berpangkalan di Hulu Langat ini berharap potensi pemainnya menarik minat jurulatih Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD), sekolah sukan dan kelab lain.
Bekas ketua jurulatih KL Pos Malaysia FC Alan Lim berkata akademi perlu menyertai banyak pertandingan dan perlawanan persahabatan bagi mencerahkan peluang pemain berpotensi mempamer kemahiran bermain sekali gus menarik minat pencari bakat.
Pemilik Akademi Bola Sepak First Touch itu berkata usaha untuk melahirkan pemain berpotensi memerlukan pengorbanan dan sokongan semua pihak kerana hasilnya tidak akan diperoleh dalam masa singkat.
Bercerita lanjut, pemegang lesen kejurulatihan kelas A itu bertanggungjawab membawa 28 pelatih berusia enam hingga 18 tahun berlatih bersama kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris Manchester United pada 1998.
"Saya tubuh akademi sebab mahu beri peluang anak keluarga susah yang ada bakat main bola. Kenakan bayaran rendah. Kadang-kadang ada yang tak bayar tetapi tetap diberi peluang berlatih dan bermain. Semakin banyak akademi ditubuhkan bagus kerana dapat beri peluang anak-anak yang tidak dapat main.
"Apa yang penting akademi yang ada kena ikhlas untuk ajar pelatih, faham dan betul-betul mengenali bola sepak sejak kecil. Tidak boleh dapat hasil dengan cepat tetapi perlukan program yang panjang," katanya yang pernah beraksi dalam Liga Perdana 2010.





