SHAH ALAM, 29 OKT: Seorang saksi kanak-kanak mengaku pernah 'curi-curi' membaca diari Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang menceritakan mengenai ibu dan bilik asrama arwah.
Saksi kanak-kanak ke-26 inkues kematian arwah Zara Qairina itu mendedahkan kandungan diari itu yang mengandungi kata-kata kesat terhadap ibu arwah di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu hari ini.
Peguam Joan Goh yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak berkata, perkara itu diceritakan saksi selepas ditanya peguam ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, katanya dipetik Berita Harian.
"Yang saksi ingat apabila dia curi-curi baca diari Zara adalah pasal emak dia dan juga 'dorm' dia. Yang saksi baca dalam diari Zara, dia maki emak dia dalam diari dia," katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas prosiding, hari ini.
Diari yang dibaca saksi kanak-kanak terbabit merujuk kepada diari lama yang dikoyak oleh arwah Zara Qairina seperti dinyatakan dalam keterangannya.
Terdahulu, dalam keterangannya, saksi ke-35 inkues itu menyatakan pernah nampak arwah Zara Qairina menulis diari yang sentiasa dilakukannya di bilik asrama.
"Saksi menyatakan pernah curi-curi membaca diari lama yang pernah dikoyak oleh arwah Zara Qairina sendiri. Buku diari Zara Qairina yang lainm saksi tiada membaca dan hanya nampak dia menulis ketika di asrama.
"Saksi menyatakan dia tidak pasti mengapa Zara koyak diari lama dia sendiri. Saksi juga menyatakan boleh mengecam buku diari milik Zara dan tulisannya serta ingat buku diari yang ditulis arwah," katanya.
Sementara itu, saksi yang tinggal sebilik dengan arwah Zara Qairina itu memberitahu Mahkamah Koroner dia mendapat tahu arwah disyaki mencuri kad bank seorang pelajar lain ketika Zara Qairina dipanggil ke bilik sebelah pada kira-kira jam 10 malam, 15 Julai lalu.
Joan berkata, saksi itu menceritakan dia bersama rakan sebilik lain memeriksa beg arwah Zara Qairina selepas arwah dituduh mencuri.
"Pada 15 Julai lalu, pada waktu malam sekitar jam 10 lebih, ketika saksi berada di dalam 'dorm', saksi ada melihat Zara Qairina dan dengar suara dari bilik sebelah dengan menyuruhnya datang ke bilik itu.
"Kemudian baru saksi tahu Zara Qairina disyaki mencuri kad bank seorang pelajar lain dan dipanggil berjumpa dengan pelajar senior di bilik asrama sebelah.
"Apabila mengetahui Zara telah dituduh mencuri, saksi bersama kawan 'dorm' lain telah memeriksa beg sandang warna hitam milik Zara.
"Seorang pelajar menjumpai satu pin Jalur Gemilang di poket hadapan beg Zara Qairina yang ada bertulis nama. Mereka juga memeriksa almari Zara Qairina namun tidak menjumpai apa apa," katanya.
Bagaimanapun, katanya saksi tidak tahu bagaimana kejadian Zara berjumpa dengan pelajar senior kerana saksi tidak pergi ke bilik asrama sebelah dan tidak tahu siapa pelajar senior yang berjumpa dengan arwah.
Apabila ditanya peguam mengapa arwah Zara Qairina disyaki mencuri, katanya saksi menjawab duitnya juga pernah hilang pada bulan puasa lalu.




