Kes gaduh depan Masjid Selat Melaka diselesai cara baik - polis

23 Okt 2025, 12:40 PM
Kes gaduh depan Masjid Selat Melaka diselesai cara baik - polis

SHAH ALAM, 23 OKT: Kes tular membabitkan pergaduhan antara lelaki dan pengawal keselamatan di pintu masuk Masjid Selat Melaka di Melaka Selasa lalu, disahkan selesai selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan berdamai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pengadu yang juga seorang peniaga berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur sudah menarik semula laporan polis yang dibuatnya.

"Pengadu menarik laporan selepas perselisihan faham itu diselesaikan secara baik dan tidak mahu siasatan polis diteruskan," katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pergaduhan tercetus kira-kira jam 3.20 petang berpunca perselisihan faham antara pengadu dengan pengawal terbabit mengenai isu pemakaian tudung oleh isterinya.

Christopher berkata, lelaki itu bersama isterinya datang untuk menunaikan solat Zuhur sebelum berlaku pertengkaran dengan pengawal keselamatan yang menahan kereta dan tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid.

"Dia menyatakan pengawal keselamatan terbabit menegur mereka kerana isterinya tidak memakai tudung, sedangkan wanita itu sudah menutup kepala menggunakan sweater.

"Pengawal itu kemudian kembali ke balai pengawal untuk memaklumkan perkara itu kepada penyelianya, namun pengadu keluar daripada kenderaan dan menghentak bumbung keretanya sebanyak tiga kali dan mengatakan 'aku hendak sembahyang ni!" katanya.

Katanya, pertengkaran itu bertukar tegang apabila kedua-dua pihak saling meninggikan suara sebelum berlaku tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk hingga pengadu mengalami kesakitan di bahagian bahu.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman menasihati pengunjung dan petugas supaya mengawal emosi terutama di tempat suci.

Beliau turut meminta semua pihak yang berkongsi hantaran dan video insiden itu di media sosial untuk segera memadamnya kerana kes itu sudah selesai.