SHAH ALAM, 18 OKT: Selangor bakal menyambut tahun bersejarah 2026 dengan penganjuran sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang akan berlangsung di seluruh negeri termasuk Bandar Diraja Klang.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyediakan peruntukan khas berjumlah RM450,000 bagi penganjuran program sambutan yang akan dimuktamadkan kemudian.
"Acara merangkumi Program Ziarah Menjunjung Kasih, Perarakan Diraja, Sukan Rakyat serta pelbagai aktiviti berunsur warisan dan kebudayaan.
"Sambutan ini bukan sekadar memperingati pemerintahan penuh kebijaksanaan baginda, tetapi juga memupuk semangat perpaduan serta memperkukuh identiti Klang sebagai pusat warisan diraja," katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh identiti Bandaraya Diraja Klang sebagai pusat warisan negeri, malah mempererat hubungan antara institusi diraja dan rakyat jelata.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menawarkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri “SIS” untuk bidaan awam bermula 15 hingga 19 Ogos lalu sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2026.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Bajet 2026 MBDK meluluskan perbelanjaan RM440 juta, meliputi RM330 juta bagi Belanja Mengurus dan RM110 juta bagi Belanja Pembangunan.
Bagi 2026, MBDK turut menyusun semula perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada inisiatif yang memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya dalam penyediaan dan penaiktarafan infrastruktur serta penyelenggaraan kemudahan awam.