SHAH ALAM, 15 OKT: Sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia atau ahli keluarga mereka pernah dibuli dalam tempoh setahun lalu, termasuk oleh guru, menurut tinjauan sebuah firma penyelidikan pasaran.
Tinjauan Ipsos yang dijalankan terhadap 400 rakyat Malaysia bawah 65 tahun mendapati buli paling kerap berlaku di sekolah, dengan 65 peratus daripada mangsa mengatakan mereka dibuli di sana.
Sementara itu, 41 peratus responden melaporkan dibuli di tempat kerja, diikuti buli siber (35 peratus), buli domestik (24 peratus) dan buli di tempat awam (16 peratus).
“Kes buli sering mencetuskan kemarahan awam dalam ruang digital Malaysia, mencerminkan empati mendalam rakyat terhadap mangsa. Tindak balas ini tidak menghairankan kerana kejadian tersebut sangat dekat dengan kehidupan ramai rakyat,” menurut laporan itu.
Ipsos mendapati rakyat Malaysia sering berbincang mengenai buli di sekolah dan siber di media sosial, namun buli di tempat kerja dan rumah jarang dilaporkan.

Walaupun jumlah mangsa buli amat membimbangkan, kebanyakan mangsa tidak mengambil sebarang tindakan. Sebagai contoh, 72 peratus mangsa buli di sekolah memilih untuk berdiam diri.
“Terdapat juga sejumlah besar mangsa buli di tempat kerja (49 peratus) dan buli siber (34 peratus) yang tidak berbuat apa-apa. Ini menunjukkan mangsa lebih cenderung pasif, dan sistem sokongan mudah diakses amat diperlukan,” kata laporan itu.
Daripada bertindak, kebanyakan mangsa hanya mendapatkan bantuan tidak formal seperti bercakap dengan ahli keluarga atau rakan (44 peratus) serta melaporkan kepada ibu bapa (32 peratus), manakala hanya segelintir yang melaporkannya kepada pihak sekolah, majikan atau polis.
“Sumber rasmi seperti talian bantuan dan khidmat kaunseling jarang digunakan,” jelas Ipsos.
Guru turut membuli
Kajian itu turut mendapati bahawa dalam kes buli di sekolah, 21 peratus responden menyatakan pelaku ialah guru atau kakitangan sekolah.
Namun, buli secara lisan masih menjadi bentuk paling biasa di sekolah (58 peratus), diikuti buli siber (33 peratus), pengasingan sosial (29 peratus) dan buli fizikal (26 peratus).
“Buli siber dan pengasingan sosial menunjukkan bagaimana platform digital mengubah bentuk masalah ini. Buli fizikal dan kes melibatkan guru atau kakitangan juga wujud, membuktikan isu ini berlaku dalam pelbagai konteks,” menurut laporan itu.
Siapa bertanggungjawab?
Mengenai pihak yang perlu memimpin usaha membanteras buli di Malaysia, majoriti responden berpandangan sekolah (71 peratus), keluarga (70 peratus) dan Kementerian Pendidikan (66 peratus) wajar memainkan peranan utama.

Namun, agensi penguat kuasa dan badan kerajaan lain termasuk polis turut diharapkan memainkan peranan lebih penting, manakala media arus perdana mencatat jangkaan paling rendah (43 peratus).
“Untuk membina persekitaran bebas buli, Malaysia perlu menggalakkan perbincangan terbuka supaya masyarakat dapat mengenal pasti tanda-tanda buli dan belajar cara menanganinya dengan berkesan.
Menangani isu buli bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi penting untuk perpaduan dan pembangunan masa depan negara,” kata Ipsos.