Gua Niah warisan dunia, arkib alam berusia 65,000 tahun

11 Okt 2025, 2:29 AM
Gua Niah warisan dunia, arkib alam berusia 65,000 tahun

MIRI, 11 OKT: Di sebalik kesunyian rimba tropika Sarawak, Gua Niah berdiri megah menyerlahkan pesonanya sebagai gua batu kapur terbesar dan tertua di Malaysia, khazanah alam penuh keunikan yang menjadi pintu gerbang menyingkap rahsia peradaban awal manusia di Asia Tenggara.

Terkenal dengan penemuan arkeologi berusia puluhan ribu tahun, gua bersejarah yang dikenal pasti menjadi petempatan manusia sejak kira-kira 65,000 tahun dahulu muncul sebagai lokasi penting menjejaki asal usul serta kehidupan manusia awal di rantau ini.

Dengan keluasannya sekitar 3,138 hektar, gua yang terletak di pekan Batu Niah, kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Miri bukan sahaja sahaja menyimpan pelbagai khazanah arkeologi bernilai tinggi bahkan juga menawarkan panorama alam semula jadi memukau menjadikannya destinasi warisan dunia wajib diterokai.

Berpeluang menjejakinya baru-baru ini, penulis dibawa pemandu pelancong berpengalaman lebih dua dekad, Frankie Kho Chie Kian, 57, menelusuri keunikan dan keistimewaan gua yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini.

Teruja dan terpukau dengan keindahan formasi batu kapur berusia ribuan tahun, kicauan burung walit yang bergema di ruang gua serta sinaran cahaya semula jadi yang menembusi celah dinding, penulis tidak menafikan terasa bagaikan dibawa kembali menghayati detik kehidupan generasi silam sebelum ini.

Istimewanya, penerokaan menjejaki kehidupan manusia awal serta pembinaan tamadun di rantau ini tidak hanya tertumpu di gua yang yang terletak di daerah yang bersempadan dengan daerah Marudi di timur dan Beluru dan Subis di selatan serta Laut China Selatan di barat ini sahaja.

Akan tetapi, apa yang menariknya dengan eksplorasi di sini adalah sebaik mendaftar di kaunter Taman Negara Niah dan menyeberangi Sungai Niah dengan bot selama kira-kira tiga minit sebelum tiba di seberang, pengunjung akan turut sama menyelusuri beberapa rangkaian gua pelbagai bentuk dan saiz.

Gua Dagang, Gua Besar, Gua Gan Kira dan Gua Lukisan adalah antara beberapa gua yang boleh diterokai di Gua Niah, dengan setiap satunya menyimpan pesona keindahan alam semula jadi yang menakjubkan serta pelbagai artifak tinggalan masyarakat purba.

Menerokai terlebih dahulu Muzium Arkeologi Niah bagi merasai gambaran awal menyingkap asal usul peradaban manusia termasuk melihat sendiri replika tengkorak manusia moden terawal, menjadi langkah pertama sebelum pengembaraan menjejaki alam semula jadi dan warisan sejarah di gua yang menakjubkan ini.

Dari situ, perjalanan sejauh hampir tiga kilometer menyusuri laluan papan kayu di hutan hujan tropika, menawarkan pengalaman tersendiri dengan suasana lembap, bau guano (najis) kelawar dan kicauan burung layang-layang yang menemani langkah setiap pengunjung.

Gua Dagang, gua pertama yang akan ditemukan di kawasan di Gua Niah, suatu ketika dahulu menjadi lokasi urus niaga antara pedagang dan masyarakat tempatan dan sisa tiang kayu lama antara tinggalan berharga yang masih kekal di situ sekali gus membuktikan kewujudan sejarah perdagangan di gua tersebut.

Perjalanan diteruskan ke Gua Besar, ruang utama seluas kira-kira sebuah padang bola sepak dan setinggi hampir 75 meter dengan cahaya semula jadi menembusi dari pintu gua, menonjolkan keindahan formasi batu kapur sambil burung layang-layang berterbangan di udara.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat masyarakat Penan mengutip sarang burung layang-layang atau mengumpul guano, tradisi turun-temurun yang kekal menjadi sumber rezeki buat mereka hingga kini.

Perjalanan terakhir menuju ke Gua Kain Hitam, kira-kira 150 meter dari Gua Besar, menyingkap lukisan purba berusia lebih 1,200 tahun yang menggambarkan perahu keranda serta kepercayaan masyarakat prasejarah mengenai perjalanan roh selepas mati.

“Pengunjung biasanya kagum melihat replika tengkorak manusia moden terawal di Asia Tenggara kerana ditemukan di sini bukannya luar negara. Lukisan purba di Gua Kain Hitam pula memberi peluang mereka melihat hasil seni masyarakat lampau sekali gus menghargai warisan negeri ini,” kata Frankie.

Mengharapkan dengan pengiktirafan UNESCO itu bukan sahaja dapat memperkukuhkan usaha pemuliharaan gua secara mampan bahkan juga sebagai lembaran baharu yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan melalui pelancongan berasaskan alam dan sejarah.