Oleh Jack Malik
Rick and Morty ialah sebuah animasi fiksyen sains orang dewasa (kategori 18 tahun ke atas) yang saya ikuti. Ya, animasi juga ada pengkhususan peringkat umur. Animasi ini barangkali mimpi ngeri mana-mana susuk yang menjadikan perbincangan sekitar adab, moral dan nilai-nilai luhur sebagai personaliti utama mereka. Walau bagaimanapun, sepanjang lapan musim animasi ini bersiaran secara penstriman, ada beberapa petikan geliga di sebalik hal-hal mengarut dan menggelikan hati dalam siri ini yang saya ingati:
“Your boos mean nothing to me, I've seen what you cheer for.”
Terjemahan kasarnya lebih kurang begini, “Aku tak heran kecaman kauorang, [sebab] aku tahu apakah yang kauorang sorak.”
Dalam dunia seni dan sastera, lembut lidah boleh begitu lunak membahaskan bahawa cita rasa tidak wajar dijadikan sebagai kayu ukur bagi penilaian yang menuntut keobjektifan—seperti sayembara atau anugerah. Namun, sejauh manakah kita boleh menafikan hal yang dikatakan relatif dan fana dan subjektif itu tidak mempengaruhi pengalaman masing-masing, apatah lagi diterjemahkan kepada pilihan serta tindak-tanduk semua?
Paisley Rekdal, penulis Real Toads, Imaginary Gardens (2024), menyatakan bahawa semua orang selalu bercakap tentang apa yang mereka suka [tentang puisi], tetapi seolah-olah tiada seorang pun berminat tentang apakah yang puisi telah lakukan.
Tidak hairanlah mengapa ada sesetengah orang berasa curiga dengan cita rasa. Bukan sahaja cita rasa banyak percanggahan dan sifatnya goyah, bahkan hal itu juga sedikit sebanyak mengetepikan perhatian yang sewajarnya ditumpahkan untuk mencapai suatu penilaian telus. Namun, ini tidak bermakna cita rasa lahir dari rahim subjektiviti semata: jangan kita terkeliru antara relativisme dengan pluralisme, serta menganggap panca deria itu secara hakikinya efemeral.
Kita menjadi penulis (puisi) yang lebih baik, Rekdal menasihati, apabila kita menjadi pembaca (puisi) yang lebih memberikan perhatian. Bagi Rekdal, puisi ialah sebuah tangga kemahiran, setiap unsurnya disusun cermat oleh si pemuisi yang menggunakan gabungan unsur-unsur tersebut bagi mencapai suatu kesan khusus. Pada pendapat saya, keabsahan cita rasa mampu terbit daripada sejauh mana cermatnya seorang pembaca atau pengkritik itu.
Rekdal berpendapat bahawa pembacaan teliti secara “forensik” merupakan usaha untuk membedah sebuah karya berpandukan set soalan dalam bukunya. Soalan-soalan ini menjadi panduan yang menghubungkan pembacaan kita dengan hal-hal nyata yang mendasari setiap karya sastera. Melalui “panduan forensik” ini, Rekdal menegaskan bahawa pembacaan tidak seharusnya terperangkap dalam keghairahan mencari pencerahan dasar atau terlampau khusyuk memuji dan mengkritik semata-mata, sebaliknya membuka ruang untuk memahami karya secara lebih mendalam dan berimbang.
Ini tidak bermaksud pencerahan dasar dan kritikan tidak wajar, tetapi apa yang saya faham adakala hal-hal tersebut mudah terjerumus dalam perbincangan remeh dan menjauhkan kita daripada kerja-kerja penelitian yang lebih munasabah.
Merenung kembali beberapa minggu yang lalu ketika saya terlibat dalam sebuah polemik, saya meneliti semula perkataan itu. Kata akar polemik, daripada bahasa Yunani, “polemos”, bermaksud perang.
Patutlah ada ketika saya berasa lelah.
Dan saya tertanya-tanya sampai hari ini—tatkala panglima perang membawa panji “kritikan” sudah siap-sedia menghunus pedang “kebenaran” mereka, adakah kesumat terhadap perkara yang tidak selari dengan pandang alam tertentu menghalalkan pertumpahan darah yang pada akhirnya tidak menyelesaikan sebarang masalah jua?
Lebih parah, pahlawan sebegini sering memperlihat sikap menjengkelkan, sementara para penonton pula terpukau dengan wacana dan jargon yang dilontarkan—tanpa menyedari bahawa si tukang polemik bukan sahaja memerangkap, malah turut terperangkap dalam wacana serta pandangan alam agung ciptaan mereka sendiri.
Dapat dibayangkan barangkali pemain polemik berasa petikan animasi Rick and Morty di atas begitu dekat dengan mereka. Melalui segala nas dan dalil dikutip daripada gergasi falsafah, sejarah, budaya, sains sosial dan kesusasteraan sepanjang zaman, tidak hairan pandang alam “kaki perang” ini tidak mempedulikan sebarang kecaman daripada sesiapa sekalipun kerana mereka tahu apakah yang disorak oleh para pembaca, penulis, rakan pengkritik lain dan penilai sastera.
Ironinya, apabila sudah tenggelam—sama ada sedar atau tidak—dalam ideologi mereka, keluasan pembacaan yang sepatutnya membuka banyak kemungkinan akhirnya jadi sia-sia, sebab pandangan alam yang dianggap kudus itu hanya berlegar dalam dikotomi sempit berjaya atau gagal, dengan renungan binari yang terbatas yang dianggap paling muluk.
Mukadimah Real Toads, Imaginary Gardens menyelitkan keinsafan penting bagi para pencinta sastera sejagat: “kita tidak akan tahu [karya] apakah yang kita suka selagi kita tidak membaca dengan meluas, malah membaca [karya] yang bertentangan dengan apa yang sejak awal lagi membuat kita berasa selesa.”
Di sini, “karya apa yang kita suka” boleh juga diertikan sebagai “karya yang bagus”.
Kita tidak akan tahu sesuatu karya itu bagus atau tidak selagi alam pembacaan kita—baik sekitar sastera mahupun luar sastera—masih di takuk yang sama. Bahkan, apa yang kita sorak itu, dalam pandang yang lebih besar, hanyalah tepukan kosong, manakala apa yang kita kecam pula, langsung terlepas daripada pemahaman yang sepatutnya mudah untuk kita tangkap.
Pemahaman yang sepatutnya bukan sahaja menjadikan kita pembaca yang lebih baik, tetapi pembaca yang menyedari betapa kerdilnya kita berhadapan dengan keluasan belantara puisi, sastera dan seni.