ad

EXCO kesihatan: Selangor sasar larangan penuh vape hujung tahun ini

28 Sep 2025, 9:04 AM
EXCO kesihatan: Selangor sasar larangan penuh vape hujung tahun ini

KAJANG, 28 SEPT: Kerajaan Selangor menyasarkan larangan penuh penggunaan rokok elektronik atau vape dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu dapatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang meneliti cadangan larangan berkenaan sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

“Jadi, kita nak tengok apakah naratif (penguatkuasaan larangan) dari Kerajaan Persekutuan. Negeri juga berharap pengharaman dibuat secara menyeluruh, sekiranya ingin membenteras isu penggunaan vape ini.

“Namun, sekiranya pengharaman yang menyeluruh tidak mampu dilaksanakan, mekansime pengawalan vape perlu dibuat yang membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri dengan persekutuan untuk memastikan perundangan dapat diperketat dan pemantauan penguatkusaan secara berkesan,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan Kembara Denggi Selangor Siri 2, Jamaliah menegaskan Selangor tidak boleh terburu-buru dan mendahului keputusan persekutuan berhubung sebarang dasar berkaitan kawalan tembakau dan vape.

“Larangan ini ambil sedikit masa kerana kita ingin memastikan tindakan pengutkuasaan dapat diharmonikan dari setiap agensi berbeza yang melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) agensi lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Jadi untuk tujuan penyelarasan penguatkuasaan dan perundangan, kita akan mengajurkan bengkel pada setiap agensi terlibat sebelum cadangan larangan dibentangkan kepada MMKN,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM menyasarkan pengharaman penjualan vape dapat dikuatkuasakan seawal pertengahan tahun depan secara berperingkat, bermula dengan sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis produk.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.