KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) menanggung hampir keseluruhan kos rawatan dialisis bagi pesakit kurang berkemampuan dengan subsidi sehingga RM1,630.50 sebulan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata subsidi itu meliputi rawatan hemodialisis yang dijalankan di 138 pusat dialisis badan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf KKM, dengan pesakit hanya perlu menanggung kos tidak melebihi RM10 sebulan.
“Subsidi diberikan RM100 bagi setiap rawatan hemodialisis, sehingga maksimum 14 kali sebulan serta suntikan eritropoietin bernilai RM18.50 untuk setiap suntikan sehingga 13 kali sebulan. Kos keseluruhan rawatan seorang pesakit berjumlah RM1,640.50 manakala subsidi kerajaan menampung RM1,630.50.
"Kelulusan subsidi itu diberikan selama dua tahun dan boleh mohon diperbaharui kelulusan bantuan selepas tamat tempoh,” katanya menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Prof Dr Mohamed Haniffa Abdullah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Senator itu bertanya mengenai pelan jangka panjang KKM untuk mengawal peningkatan kos rawatan dialisis, mengurangkan beban pesakit B40 serta mengoptimumkan penggunaan peruntukan awam.
Lukanisman berkata peningkatan kes penyakit buah pinggang kronik (CKD) akibat faktor risiko seperti diabetes, hipertensi dan obesiti terus menambah beban kos rawatan dialisis saban tahun.
Bagi menangani cabaran itu, KKM melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit di peringkat komuniti, selaian memperkenalkan kurikulum kesihatan buah pinggang di sekolah serta menghadkan penggunaan ubat tanpa preskripsi yang boleh menjejaskan fungsi buah pinggang.
Katanya KKM juga mengukuhkan dasar Peritoneal Dialysis First (PD First Policy) untuk meningkatkan akses rawatan pesakit di luar bandar memandangkan kaedah itu lebih menjimatkan kos, fleksibel serta boleh dilakukan di rumah, sekali gus mengurangkan kos perjalanan.
"Di kawasan seperti Beluga, Sarawak, seorang pesakit perlu menempuh perjalanan empat jam ke Bintulu untuk mendapatkan rawatan. Dengan PD First rawatan boleh dilakukan di rumah sekiranya ada bekalan air bersih dan ruang sesuai.
“Namun, kadar penerimaan dasar ini masih rendah kerana ketiadaan insentif dan kekangan infrastruktur, termasuk bekalan air bersih. Justeru, kita mengalu-alukan kerjasama pihak swasta dan NGO untuk memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa jumlah pesakit dialisis di Malaysia pada 2024 meningkat kepada 55,237 orang dengan 7,750 menerima rawatan hemodialisis dan 1,723 menjalani rawatan peritoneal, sambil menambah bahawa kerajaan sedang meneliti penambahbaikan dana bagi memperkukuh PD First Policy melalui peruntukan Belanjawan.
Menjawab cadangan Senator Rosni Sohar supaya diwujudkan sebuah institusi khusus seperti Institut Jantung Negara (IJN), Lukanisman menjelaskan negara telah pun mempunyai Institut Nefrologi untuk penyakit berkaitan buah pinggang, sambil menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran pendermaan organ bagi mengurangkan beban rawatan dialisis.
- BERNAMA