ad

Selangor kongsi kejayaan Dasar Ekonomi Penjagaan di pentas global

9 Sep 2025, 7:15 AM
Selangor kongsi kejayaan Dasar Ekonomi Penjagaan di pentas global

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Selangor terus mengangkat agenda kesejahteraan rakyat apabila berkongsi kejayaan pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 di pentas antarabangsa.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, dasar itu diketengahkan dalam Asia-Pacific Learning Week, sebahagian daripada TransformCare Investment Initiative anjuran UN Women dan Unicef yang berlangsung dari 2 hingga 5 September lalu.

“Selangor dijemput menyertai program ini sebagai pengiktirafan kepada usaha negeri merangka dasar komprehensif yang berasaskan kesaksamaan gender dalam ekosistem penjagaan. Ia juga memberi peluang untuk kita belajar amalan terbaik dari negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program tersebut merangkumi dua subacara iaitu Transform Care Technical Assistance Workshop pada 2 hingga 3 September, diikuti Asia-Pacific Care Forum pada 4 hingga 5 September 2025.

Menurut Anfaal, sesi perkongsian bertemakan “From Evidence to Action: Learnings from Country Efforts” menampilkan lima ahli panel dari Kemboja, Nepal, India, Indonesia dan Malaysia (Selangor).

Beliau berkata, Selangor menekankan empat pencapaian utama, antaranya melatih lebih 1,000 wanita sebagai penjaga komuniti menerusi Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK), sekali gus memperluas akses kepada pusat jagaan awal serta peluang ekonomi keluarga.

Selain itu, katanya, penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) turut dibentangkan sebagai inisiatif meningkatkan kualiti pusat jagaan melalui garis panduan baharu dan pemberian geran bagi memastikan pematuhan piawaian keselamatan.

“Selangor juga membangunkan portal SEJAGAT bagi memetakan data permintaan dan penawaran perkhidmatan penjagaan untuk membantu pengusaha serta pembuat dasar menutup jurang penawaran,” katanya.

Tambah beliau, turut disentuh adalah usaha memperkasa perniagaan penjagaan melalui latihan keusahawanan, kursus kemahiran serta peluang pitching bagi meluaskan jaringan pengusaha tempatan.

Kata Anfaal lagi, penghapusan stigma bahawa penjagaan sebagai pekerjaan berpendapatan rendah turut digerakkan dengan penganjuran Sidang Kemuncak Antarabangsa Penjagaan Selangor (SICS) sebagai platform pelaburan, inovasi dan perkongsian teknologi.

“Usaha ini penting untuk mengarusperdanakan ekosistem penjagaan yang lebih inklusif, responsif gender serta mampan bagi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.