ad

MPKL peruntuk RM900,000 bangun Taman Rekreasi Madani di Tasik Banting Biru

9 Sep 2025, 8:21 AM
MPKL peruntuk RM900,000 bangun Taman Rekreasi Madani di Tasik Banting Biru

SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memperuntukkan RM900,000 bagi membangunkan Taman Rekreasi Madani (TRM) di Taman Tasik Banting Biru yang dilengkapi pelbagai kemudahan lengkap dan moden.

Pengarah Jabatan Korporatnya Hashila Hamzah berkata taman yang dibangunkan seluas 3.2 ekar tersebut berpotensi menjadi pemangkin transformasi dari aspek ekonomi, sosial dan persekitaran di Kuala Langat.

“Taman akan menawarkan kemudahan seperti dataran pavillion, laluan basikal, gelanggang serbaguna pickleball, taman permainan, ruang wakaf, laluan refleksologi dan smart shelter.

“Ia membantu memperkukuh kesatuan komuniti, memperkasa aktiviti budaya dan sukan, serta merangsang ekonomi tempatan,” katanya kepada Media Selangor.

Hashila menambah tempoh kerja pembangunan TRM di Taman Tasik Banting Biru selama lapan bulan bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Mac 2026.

“Pembangunan kini mencapai tahap tujuh peratus membabitkan kerja awalan bagi penyediaan, penandaan dan mengaras tapak termasuk pembersihan kawasan,” ujarnya.

Kerajaan Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya lima TRM di negeri itu dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebagai usaha menyediakan ruang rekreasi komuniti yang lebih moden dan inklusif.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata, proses pembangunan sedang dijalankan secara berperingkat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa lokasi dikenal pasti antaranya Sepang dan Kuala Langat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.