SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Selangor memantau rapat isu kesesakan jalan di Desa Aman Puri, Bukit Lanjan yang berlarutan sejak sekian lama.
Setiausaha politik kepada Dato' Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad berkata Kerajaan Negeri meletakkan penanda aras tidak membenarkan sesuatu isu mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.
"Isu ini tidak boleh terus ditangguh dengan alasan kajian tetapi kaji sampai bila baru penyelesaian nak dibuat?.
"Yang menyedihkan, hampir 30 tahun jalan ini tidak pernah dinaik taraf. Saya tidak faham bagaimana rungutan rakyat boleh didiamkan sebegini lama," tegas Saifuddin menerusi kenyataan.
Perkara tersebut dinyatakannya menerusi mesyuarat pada Isnin lalu bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu yang sudah berlarutan sekian lama.
Mesyuarat berkenaan dihadiri Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Phua Pei Ling, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Majlis Perbandaran Selayang turut memaklumkan kesesakan di lokasi tersebut sudah mencapai tahap kritikal dengan penarafan sudah berada paras F.
Saifuddin menegaskan perkara itu juga akan dibawa lagi dalam mesyuarat akan datang dalam tempoh dua bulan bertujuan menilai perkembangan usaha yang dilakukan bagi menaik taraf jalan tersebut.