ad

China puji peranan konstruktif Anwar dalam Sidang Kemuncak SCO

8 Sep 2025, 2:02 PM
China puji peranan konstruktif Anwar dalam Sidang Kemuncak SCO
China puji peranan konstruktif Anwar dalam Sidang Kemuncak SCO
China puji peranan konstruktif Anwar dalam Sidang Kemuncak SCO
China puji peranan konstruktif Anwar dalam Sidang Kemuncak SCO

BEIJING, 8 SEPT: China memuji penglibatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin minggu lalu, kata Duta Besar Fan Xianrong yang bertanggungjawab bagi penyelarasan antarabangsa SCO.

China berpuas hati dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu dan Pengerusi ASEAN, katanya.

“Perdana menteri anda telah menyampaikan ucapan konstruktif yang memberikan perhatian positif terhadap SCO semasa sidang kemuncak itu,” katanya ketika menjawab soalan Bernama mengenai kemungkinan SCO meningkatkan kerjasama dengan ASEAN.

Mengenai kerjasama SCO-ASEAN, Fan berkata dalam sidang media bersama wartawan tempatan dan asing berhubung hasil Sidang Kemuncak SCO bahawa pertubuhan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana badan mesra yang mengiktiraf Semangat Shanghai.

Ditanya mengenai kemungkinan SCO menerima lebih banyak negara ASEAN sebagai rakan dialog, duta itu berkata terdapat prosedur tertentu sebelum sesebuah negara boleh diterima.

Dalam Sidang Kemuncak SCO di Tianjin baru-baru ini, Laos diterima sebagai rakan dialog terbaharu, menjadikannya negara ASEAN ketiga memperoleh status itu selepas Kemboja dan Myanmar.

SCO ditubuhkan di Shanghai pada 2001 oleh China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan, dan kemudian diperluas untuk merangkumi India, Pakistan, Iran dan Belarus. Ia kini mempunyai dua negara pemerhati dan 15 rakan dialog.

Falsafah terasnya berasaskan Semangat Shanghai yang menekankan saling mempercayai, saling menguntungkan, kesaksamaan, perundingan, menghormati kepelbagaian tamadun serta mengejar pembangunan bersama.

SCO merupakan kuasa utama dalam hal ehwal Eurasia, meliputi 60 peratus kawasan daratan Eurasia dengan negara anggota mewakili hampir 50 peratus daripada populasi dunia.

Ia berfungsi sebagai platform penting bagi dialog dan kerjasama antara kuasa besar seperti China dan Rusia.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.