ad

Sawah jadi trek larian, beri pengalaman unik suasana kampung

8 Sep 2025, 12:48 AM
Sawah jadi trek larian, beri pengalaman unik suasana kampung
Sawah jadi trek larian, beri pengalaman unik suasana kampung
Sawah jadi trek larian, beri pengalaman unik suasana kampung
Sawah jadi trek larian, beri pengalaman unik suasana kampung

KUALA SELANGOR, 8 SEPT: Jika kebanyakan acara larian membawa peserta merentas hutan konkrit di tengah bandar, Larian Sawah Padi Tanjong Karang (LSPTK) 2025 yang berlangsung di sini semalam menawarkan pengalaman unik berlari di kelilingi hamparan padi menghijau.

Acara larian santai yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Sri Tiram itu menarik lebih 3,500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berpeluang merasai suasana desa dengan panorama bendang.

Peserta tiba seawal 6 pagi sebelum larian sejauh lapan kilometer itu bermula dua jam kemudian, diiringi alunan muzik tradisional dan sorakan penduduk kampung.

Berlari melalui jalan desa dan lorong kampung yang dikelilingi sawah padi, peserta perlu melewati 10 pusat pemeriksaan di mana mereka dihidangkan juadah kampung, melakukan riadah serta bermain permainan tradisional yang menggamatkan suasana.

Hidangan istimewa yang disediakan termasuk nasi lemak 'punjut' dan kuih-muih tradisional, manakala permainan rakyat seperti pukul bantal, memancing ikan dan joget lambak yang kian tenggelam dalam kehidupan moden membawa peserta mengimbau zaman kanak-kanak.

Tidak sekadar berlari, ada peserta yang turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas mengambil peluang berswafoto di permatang bendang, selain ada yang tampil dengan pelbagai busana kreatif serta pakaian beragam unik.

Bagi kebanyakan peserta, pengalaman berlari di bendang bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi ruang untuk berlibur bersama-sama keluarga dan rakan-rakan bersempena dengan cuti hujung minggu yang panjang.

Muhammad Adib Mohd Rizal, 18, dari Perak yang pertama kali menyertai larian itu, meluahkan keterujaannya terhadap suasana dan format acara yang unik.

“Tahun lepas tengok video acara ini tular di media sosial dan saya rasa tertarik untuk menyertainya tahun ini. Lokasinya juga berdekatan dengan rumah nenek di Sungai Besar, Kuala Selangor,” katanya kepada Bernama.

Bagi Farah Amira Kamarudin, 39, yang menyertai acara bersama-sama dengan empat anaknya berusia 10 hingga 14 tahun, dia melihat program seumpama itu sangat sesuai untuk disertai seisi keluarga.

"Program macam ini seronok untuk bawa anak-anak tengok suasana kampung, beriadah dan bantu kurangkan tabiat anak bermain peranti pintar. Tahun lepas hanya dua anak saya sertai acara ini, tahun ini kami sekeluarga dan ini satu pengalaman yang unik,” katanya yang menetap di Mantin, Negeri Sembilan.

Selain menggalakkan aktiviti sukan, acara tahunan kali ketiga ini turut berperanan memperkenalkan Tanjong Karang sebagai destinasi riadah luar bandar dan produk agropelancongan di samping menggalakkan penglibatan belia serta penduduk kampung dalam aktiviti berorientasikan kesihatan dan menjana ekonomi setempat.

Pengarah Program LSPTK Hanif Harun berkata acara itu mendapat kerjasama dan penajaan daripada syarikat amanah patuh syariah Wasiyyah Shoppe Berhad, dan lebih membanggakan hampir 95 peratus kru yang terlibat adalah anak jati Kampung Seri Tiram Jaya.

“Saya sangat bangga kerana anak-anak muda kampung ini masih berani mencuba, sanggup membanting tulang dan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan program sebesar ini. Ia membuktikan penglibatan belia dan masyarakat tempatan masih utuh dan terus relevan.

“Dari segi limpahan ekonomi pula, kita lihat sambutan sangat positif. Alhamdulillah, sejak tiga tahun penganjuran, setiap kali tarikh penyertaan diumumkan, inap desa dan rumah tumpangan di sekitar Tanjong Karang penuh ditempah oleh peserta,” katanya.

Beliau berkata acara tahun ini juga mendapat sokongan serta permintaan peserta yang luar biasa, apabila slot pendaftaran habis dijual dalam tempoh kurang sejam sebaik dilancarkan pada awal Disember lepas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.