SHAH ALAM, 7 SEPT: Seramai 1,200 peserta termasuk warga Jepun yang menetap di Malaysia memeriahkan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) Ekiden Half Marathon 2025 (AEHM’25) di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Edisi kedua larian berganti-ganti ala Jepun itu mengekalkan format empat pelari sepasukan menamatkan jarak 21 km menggunakan selempang khas Tasuki yang perlu diserahkan di zon pertukaran sehingga ke garisan penamat.

Bagi edisi kali ini, kategori baharu Fun Run sejauh 5 km diperkenalkan, selain enam kategori utama mengikut jantina dan peringkat umur, memberi ruang penyertaan lebih inklusif kepada orang ramai.
"ALEPS yakin AEHM’25 mampu memupuk gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan komuniti serta memperkukuh persahabatan Malaysia–Jepun selari dengan semangat Dasar Pandang ke Timur," katanya dalam kenyataan.
Acara dilepaskan Presiden ALEPS Isrami Ismail bersama tetamu kehormat, manakala penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Turut hadir Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga penaung AEHM’25, Onn Abu Bakar serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Nihei Daisuke.

Selain larian, penganjuran turut diperkayakan dengan Festival Sakura-Hibiscus yang menampilkan persembahan budaya, makanan Malaysia–Jepun dan pameran gaya hidup sihat, sekali gus menyerlahkan hubungan erat melalui simbol bunga raya dan sakura.
Penganjuran mendapat sokongan penaja utama termasuk Media Selangor Sdn Bhd selaku rakan media.
