Putrajaya lancar laman sesawang rujukan berkaitan tenaga

2 Sep 2025, 8:23 AM
Putrajaya lancar laman sesawang rujukan berkaitan tenaga

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Laman sesawang rasmi Malaysia Energy Literacy Program (MELP) www.melp.my dilancarkan hari ini, sebagai pusat rujukan literasi tenaga negara yang interaktif, mudah diakses dan berdaya tahan sejajar aspirasi Malaysia MADANI untuk membentuk masyarakat lebih celik tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melancarkan laman sesawang itu pada sesi perjumpaan bersama warga PETRA di sini.

“Laman web ini menyediakan pelbagai bahan rujukan digital termasuk artikel, panduan, infografik, video, dan kandungan pendidikan.

“Inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan kefahaman masyarakat antara lain mengenai kepentingan tenaga, penggunaan tenaga yang cekap, keselamatan elektrik serta peranan semua pihak dalam menyokong matlamat negara sifar karbon menjelang 2050,” menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan MELP merupakan jambatan pengetahuan berkaitan tenaga untuk semua lapisan masyarakat yang melengkapkan rakyat dengan maklumat sahih dan praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

PETRA komited untuk terus memperkukuh usaha literasi tenaga melalui MELP sebagai wadah perkongsian ilmu dan kesedaran yang inklusif.

“Dengan adanya laman web ini, usaha mendekatkan mesej kelestarian tenaga kepada rakyat dapat dipergiatkan, sekali gus menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara yang mampan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Pembangunan laman web itu diterajui Suruhanjaya Tenaga dengan penglibatan aktif rakan strategik MELP iaitu PETRA, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER).

Turut terlibat Yayasan Hijau Malaysia, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malakoff, NUR Power dan Edra Energy.