Bahasa Melayu perlu diperkukuh sebagai asas identiti nasional – Prof Teo Kok Seong

1 Sep 2025, 3:07 AM
Bahasa Melayu perlu diperkukuh sebagai asas identiti nasional – Prof Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkukuh, kerana ia merupakan titik persamaan utama bagi masyarakat berbilang bangsa dan kaum dalam negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata bahasa Melayu, perlu menjadi asas penting identiti nasional sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, sebelum ini.

“Bahasa negara ini bukan sahaja bahasa rasmi tetapi lambang nasional. Namun malangnya selepas lebih enam dekad merdeka, masih ada generasi muda yang tidak menguasai bahasa negara,” katanya dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Teo yang juga penerima anugerah Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 berpendapat, dasar bahasa kebangsaan juga wajar dilihat semula supaya masyarakat lebih menghargai nilai bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu ada nilai yang tidak ternilai dalam ranah (bidang) kenegaraan, kerana ia bahasa kebangsaan bahasa rasmi serta identiti budaya rakyat. Perubahan sikap terhadap bahasa ini amat diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Teo mengusulkan agar diperkenalkan satu mata pelajaran wajib lulus iaitu pengetahuan antara budaya untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap cara hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sekiranya kita benar-benar memahami falsafah bersatu dalam kepelbagaian, saya percaya tidak akan timbul masalah untuk semua etnik bergerak sederap sebagai sebuah bangsa Malaysia,” katanya.

- BERNAMA