KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Jenazah pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin akan dikebumikan semula petang ini selepas selesai proses bedah siasat.
Prosedur itu dijalankan pasukan forensik Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak jam 9 pagi tadi.
Peguam Datuk Naran Singh Ara Singh berkata proses berkenaan dijangka mengambil masa sebelum hasil penuh dimaklumkan.
“Keputusan penuh bedah siasat akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pusat forensik, seperti dilapor MalaysiaGazette.
Turut hadir di HKL, ibu Allahyarham Ummu Haiman Bee Daulatgun bersama beberapa ahli keluarga.
Semalam, kubur Syamsul Haris digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih bermula jam 8.45 pagi dan selesai kira-kira setengah jam kemudian.
Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu yang membenarkan permohonan ibunya untuk penggalian semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata, langkah itu perlu bagi memastikan siasatan kematian Allahyarham dijalankan secara lebih terperinci.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai pada 28 Julai lalu sebelum dikebumikan di kampung halamannya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini memaklumkan siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati tiada unsur penderaan dalam kes berkenaan.




