SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuh tindakan terhadap penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme agama dalam kalangan umat Islam di negara ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan Sisters in Islam (SIS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beberapa langkah penguatkuasaan dan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan bagi mengekang pengaruh ideologi tersebut.
Antara langkah utama termasuk pewartaan fatwa, pemantauan kandungan penerbitan dan media digital, serta tindakan berlandaskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah menerusi agensi penguat kuasa negeri dan persekutuan.
“Pihak berkuasa turut menjalankan program penjelasan kepada kumpulan sasar melalui kerjasama Jakim, jabatan agama Islam negeri serta jabatan mufti,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam jangka panjang, kerajaan merancang untuk memperkukuh kurikulum pendidikan Islam formal dan tidak formal, khususnya melalui program masjid dan surau yang tersusun serta dikendalikan tenaga pengajar bertauliah.
Mengulas kes SIS, beliau menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan menjadi indikator penting bahawa institusi kehakiman syariah mempunyai mekanisme tersendiri menangani cabaran terhadap kedudukan fatwa.
Antara tindakan susulan termasuk memantapkan keputusan Mahkamah Syariah, memperkasakan institusi kehakiman syariah dan menguatkan peranan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Jakim juga akan memperhebat pendidikan undang-undang dan kesedaran masyarakat bagi memastikan pemahaman yang lebih jelas mengenai peranan fatwa dan struktur agama Islam negara.
Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan undang-undang syariah kekal relevan, tegas dan menepati keperluan umat Islam semasa tanpa mengorbankan prinsip asas Syariah.


