SHAH ALAM, 27 OGOS: Majoriti rakyat Malaysia bimbang larangan vape sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan akan menggalakkan pertumbuhan pasaran haram, menurut tinjauan terbaru Malaysian Vapers Alliance (MVA).
Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata perbincangan kini beralih daripada larangan di peringkat negeri kepada larangan peringkat kebangsaan, namun mesej pengguna jelas bahawa larangan bukan jawapan.
“Tinjauan kami menunjukkan rakyat Malaysia mahukan kawal selia telus di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang melindungi pengguna dan menghalang pasaran haram daripada berkembang,” katanya.
Tinjauan dalam talian melibatkan 641 responden mendapati:
74% bimbang larangan akan menggalakkan pasaran haram
80% risau produk tidak selamat atau berkualiti rendah
65% tidak menyokong larangan oleh kerajaan negeri atau persekutuan
67% berpendapat penguatkuasaan Akta 852 lebih berkesan daripada larangan menyeluruh
Khairil menambah, data penguatkuasaan menunjukkan risiko pasaran haram wujud akibat ketidaktentuan peraturan. Dari 1 Oktober 2024 hingga 30 Jun 2025, KKM menjalankan 15,775 operasi, mengeluarkan 78,424 notis dan membuka 524 kertas siasatan. Kes-kes terkini termasuk:
perniagaan di Titiwangsa didenda kerana jualan dalam talian
sindiket menjual cecair vape dicampur dadah bernilai lebih RM5 juta di Selangor diserbu polis
produk vape haram bernilai RM8.8 juta dirampas di Pasir Mas
Khairil menegaskan, produk tidak terkawal datang daripada pengendali haram, bukan perniagaan sah. Larangan hanya akan memburukkan keadaan.
Sebelum Akta 852 dikuatkuasakan, terdapat 3,200 jenama vape di Malaysia, kini tinggal kurang daripada 400 jenama. Kejatuhan ini berpunca daripada ketidaktentuan peraturan, menyebabkan penggiat sah keluar dari pasaran, meninggalkan pengguna terdedah kepada produk tidak selamat.
“Akta 852 sudah menyediakan rangka kerja nasional kukuh dengan perlindungan ketat untuk golongan bawah umur. Apa diperlukan ialah penguatkuasaan konsisten, hala tuju jelas, dan penyelesaian kolaboratif, bukan larangan yang mendorong pasaran gelap,” simpul Khairil.


