SHAH ALAM, 20 OGOS: Pada usia 75 tahun, Nur Azmi Ishak atau mesra disapa Wak Lombong memilih hidup sederhana dan berdikari, setelah berpisah dengan isterinya hampir tiga dekad lalu.
Meskipun hidup bersendirian, dia tidak pernah merasa sunyi. Hari-hari emasnya diisi dengan aktiviti dan hobi bermakna, selain kerja kemasyarakatan yang dilakukan sejak muda.
Muzik adalah cinta awalnya. Sejak remaja, dia terbiasa dengan gitar dan dram, malah pernah memiliki dua piano. Malangnya, sebahagian koleksi itu musnah dalam bah besar beberapa tahun lalu.
Walaupun begitu, kata Wak Lombong, minatnya pada muzik tidak pernah pudar kerana setiap kali bermain alatan tersebut, ada ketenangan yang sukar diungkapkan.
“Setiap hobi ada cerita, dan setiap cerita ada kenangan,” katanya yang juga meminati landskap dan motor besar, sebagai sebahagian daripada gaya hidupnya.
Pernah berkhidmat di bank, dia juga mengumpul koleksi barangan antik dan akan membawa pulang sesuatu sebagai kenangan setiap kali berpeluang ke luar negara.
Kini, koleksi itu menghuni rumahnya sebagai saksi perjalanan panjang hidupnya. Cuma yang menjadi persoalan, siapakah yang bakal mewarisi khazanah itu kerana anak-anak tidak memiliki minat sama.
"Kalau minat kumpul barangan antik kena bercampur dengan mereka yang sama minat untuk tahu nilai harganya. Tetapi kalau simpan emas lebih terjamin, nilainya tidak akan susut," kata Wak Lombong.
Wak Lombong ingin membuktikan kehidupan warga emas tidak semestinya suram. Dengan hobi, pengalaman, dan pegangan yang tersendiri, hari yang dilalui boleh jadi bermakna.