60 peratus tahfiz persendirian Selangor sudah daftar Kebenaran Operasi Bertempoh

20 Ogos 2025, 5:27 AM
60 peratus tahfiz persendirian Selangor sudah daftar Kebenaran Operasi Bertempoh

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebanyak 60 peratus daripada 606 pusat tahfiz persendirian di Selangor berdaftar dengan Kebenaran Operasi Bertempoh (KOB) yang melayakkan mereka beroperasi secara sah sementara, setakat semalam.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pusat tahfiz yang menerima KOB dibenar beroperasi dalam tempoh tiga tahun sebelum memperoleh kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, KOB disifatkan lebih praktikal dan tidak membebankan pengusaha untuk meneruskan operasi pusat tahfiz mereka dalam keadaan selamat sebelum diberi kelayakan mendapat KM.

"Baki 40 peratus lagi (pusat tahfiz) kita beri tempoh dua bulan kepada pengusaha sehingga 1 Oktober ini untuk mereka berdaftar, jika tidak operasi pemutihan akan dilaksana.

"Daripada jumlah tersebut 127 pusat tahfiz persendirian memilih untuk tutup operasi secara sukarela atas beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan," katanya kepada Media Selangor.

Bagi membenarkan sekolah aliran agama persendirian meneruskan operasinya, Dr Mohammad Fahmi berkata pihaknya turut melonggarkan beberapa syarat.

"Untuk mendapat KM, pengusaha perlu mematuhi empat syarat utama iaitu daripada aspek tanah, bangunan, penyediaan makanan dan kesihatan tetapi kita longgarkan sedikit.

"Sebagai contoh cukup untuk pusat tahfiz itu ada alatan pemadam api berbanding sebetulnya wajib ada penyiram automatik kebakaran. Namun dalam tempoh tiga tahun perlu ada usaha untuk memasang alatan itu selain memenuhi syarat utama KM," katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri melakukan beberapa pindaan dalam Program Pemutihan 2.0 bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain tidak menekan pengusaha.

Inisiatif itu juga menjamin institusi tahfiz persendirian mematuhi syarat minimum KM yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan.