SHAH ALAM, 20 OGOS: Pembinaan pangsapuri 754 unit membabitkan dua blok setinggi 24 tingkat di Kampung Bukit Lanchong mengambil kira aspek keselamatan dan teknikal sebagai keutamaan utama dalam kelulusan permohonan projek oleh pihak pemaju QW Prosper Holding Sdn. Bhd.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pihaknya telah mengadakan perbicangan bersama pemaju, Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas, ahli majlis MBSJ susulan aduan penduduk terhadap projek berkenaan pada 20 Mei lepas.
Menurutnya lagi, projek ini telah melalui proses perundangan dan teknikal yang teliti sejak tahun 2019 sebelum menerima kelulusan penuh pada tahun ini.
“Sebagai langkah mitigasi, pemaju diwajibkan menyediakan laporan teknikal pencegahan banjir yang disediakan oleh perunding jurutera bertauliah. Langkah ini penting bagi memastikan sistem saliran dalaman pembangunan berfungsi dengan efisien dan tidak meningkatkan risiko banjir kepada kawasan sekitar.
“Selain itu, pemaju turut diwajibkan mendapatkan sokongan teknikal daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling serta Tenaga Nasional Berhad.
“Proses ini memastikan setiap aspek pembangunan, termasuk akses jalan keluar masuk yang melalui jalan di Putra Heights sebagai jalan utama pembangunan, sistem saliran, dan kesalinghubungan infrastruktur, memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal,” maklumnya menerusi kenyataan.
Pihak berkuasa tempatan itu menambah pemaju turut membuat sumbangan caruman berbentuk kemudahan awam meliputi sekolah awam, tapak perkuburan, masjid, rumah ibadat selain Islam, dan kompleks komuniti sejumlah RM743,978.
“Caruman juga membabitkan caj Pemajuan sebanyak RM452,100dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) pada RM402,100.
“Caruman-caruman ini akan digunakan oleh pihak MBSJ untuk mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan awam bagi manfaat masyarakat setempat,” katanya lagi.
MBSJ turut menegaskan komitmen bagi memastikan setiap pembangunan di kawasan pentadbirannya berjalan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang sedia ada dengan keseimbangan antara keperluan pembangunan bandar serta kepentingan masyarakat.
Pada Ahad, media melaporkan penduduk mengadakan perhimpunan aman yang menjadi medan menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Pangsapuri Kampung Bukit Lanchong, Mohd Soba Mohd Jauhari mendakwa projek berkenaan bukan sahaja menambah tekanan kepada infrastruktur sedia ada malah berpotensi mengancam keselamatan penduduk kampung yang rumahnya terlalu hampir dengan tapak pembinaan.
Katanya, penduduk tidak menolak pembangunan, namun kecewa kerana projek mega itu diluluskan tanpa sebarang rundingan telus bersama komuniti setempat, lapor portal Malaysia Gazzete.


