SHAH ALAM, 13 JUL: Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) menafikan laporan media berhubung dakwaan pihaknya perlu membayar RM8.3 juta dalam tempoh 14 hari berhubung isu saman kecuaian perubatan.
Menurut pengurusan hospital itu, kes berkenaan merujuk kepada kejadian pada 2003, iaitu 22 tahun lalu ketika hospital masih dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah dan tidak membabitkan pengurusan semasa.
“Kes ini adalah berkaitan hutang tertunggak dan bukan melibatkan operasi harian HIAZ yang kini dikendalikan pengurusan baharu yang komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, kes berkenaan difailkan oleh pihak pengadu pada 2018, membabitkan dua kelahiran dalam tempoh sembilan iaitu kelahiran pertama pada 14 Jun 2002 dan kedua pada 26 Februari 2003.
“Ibu kepada bayi hadir ke HIAZ dalam keadaan pra-matang pada minggu ke-26 kandungan (sekitar enam bulan setengah). Pakar yang merawat telah menjalankan rawatan sewajarnya dan kemudiannya merujuk ibu tersebut ke Hospital Putrajaya.
"Bayi berkenaan dilahirkan di Hospital Putrajaya dan bukan di HIAZ,” jelasnya.
HIAZ turut menzahirkan kekesalan terhadap laporan media yang disifatkan tidak tepat serta memberi gambaran buruk kepada masyarakat.
“Laporan berita menyiarkan gambar kawasan yang ditutup dengan pita keselamatan sedangkan ia bukan penutupan hospital. Ini merupakan laporan yang salah dan boleh mengelirukan pembaca,” tegasnya.
Pihak hospital juga mempersoalkan tindakan media yang didakwa mengaitkan Menteri Kesihatan kononnya mengarahkan pemindahan pesakit yang menurut HIAZ tidak pernah berlaku.
Dalam pada itu, HIAZ memaklumkan akan membantah proses penyitaan oleh pihak peguam penuntut berikutan kekhilafan dalam pelaksanaan tindakan tersebut.
“Kami telah menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya.


