Oleh Anna Farina Abdul Rauf
SHAH ALAM, 27 JUN: Kemudahan 'Buy Now Pay Later' (BNPL) semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna terutama golongan muda, meski pun berpotensi menjadi beban kewangan jika tidak berhemah menggunakannya.
Pegawai kanan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berkata peningkatan penggunaan BNPL yang mendadak menunjukkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran kewangan dalam kalangan pengguna muda.
“Apabila BNPL ni menyenangkan pembeli... pengguna muda sering terjerumus dalam pembelian impulsif. Mereka mudah tergoda untuk beli lebih banyak barangan sebab bayaran tak perlu dibuat serta-merta.
“Contohnya, niat asal nak beli buku, tapi akhirnya terbeli pula telefon baharu hanya sebab nampak senang guna BNPL,” kata Mohd Khairil Ashraf Mohamad Karid menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Menurut data Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan pada Mac lalu, BNPL mencatatkan transaksi sebanyak RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, meningkat daripada RM4.9 bilion pada separuh pertama.
Kemudahan itu kini melibatkan 5.1 juta pengguna aktif, dengan majoriti terdiri daripada golongan berumur 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Mohd Khairil berkata, peningkatan angka ini menunjukkan trend pembelian secara ansuran jangka pendek semakin menjadi pilihan, namun pada masa sama menimbulkan risiko kewangan jika tidak dikendalikan dengan baik.
[caption id="attachment_707327" align="alignnone" width="838"] Pegawai Kanan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Khairil Ashraf Mohamad Karid ketika program Bicara Semasa bertajuk 'Buy Now Pay Later' Mudah atau beban? pada 27 Jun 2025. Foto MEDIA SELANGOR[/caption]
Caj tersembunyi dan disiplin kewangan
Mohd Khairil turut mengingatkan bahawa walaupun BNPL dipasarkan sebagai pembayaran tanpa faedah, pengguna tetap tertakluk kepada caj penalti sekiranya gagal mematuhi tarikh bayaran.
“Kita kena ingat BNPL ni memanglah dikatakan tanpa faedah, tapi hanya jika pengguna ikut peraturan, bayar ikut jumlah yang dijanjikan. Kalau langgar, akan ada caj penalti dikenakan. Ini yang ramai pengguna terlepas pandang,” jelasnya.
Katanya lagi, BNPL adalah bentuk pinjaman dan perlu dikira sebagai sebahagian daripada komitmen hutang bulanan.
Justeru pengguna digesa memastikan jumlah hutang tidak melebihi 40% daripada pendapatan bulanan, bagi mengelak terjerat dengan bebanan kewangan yang menekan.
“Kalau gaji RM4,000, hutang keseluruhan termasuk BNPL, kereta, rumah tak boleh lebih RM1,600. Kalau tak jaga, kita boleh terjerat dengan hutang yang menimbun,” katanya.
Amalkan 3P sebelum guna BNPL
Bagi mengelakkan kesilapan kewangan, Mohd Khairil menyarankan pengguna mengamalkan prinsip 3P sebelum menggunakan BNPL iaitu Purpose (Tujuan), Payment Capability (Kemampuan Membayar), dan Payment History (Rekod Pembayaran).
“Guna BNPL hanya untuk keperluan, bukan kehendak. Tengok akaun bank dulu sebelum tekan apa-apa. Kalau duit tak cukup untuk bayar balik dalam 3 hingga 4 bulan, jangan guna,” tegas beliau.
Katanya, mereka yang sudah mempunyai hutang sedia ada juga perlu menilai sejarah bayaran mereka sama ada mereka konsisten membayar pinjaman pendidikan, ansuran kereta atau hutang lain.
“Kalau pinjaman pendidikan pun dah dua tahun tak bayar, lepas tu tambah BNPL lagi, itu memang berisiko, kena ada kesedaran dan disiplin.
“BNPL bukan satu skim yang salah, tetapi ia memerlukan pertimbangan kewangan yang matang agar tidak menjadi beban di kemudian hari,” katanya lagi.