AGENDA

Sasar 3,000 terumbu karang pulih menjelang 2027 di Pulau Bidong

18 Jun 2025, 6:52 PM
Sasar 3,000 terumbu karang pulih menjelang 2027 di Pulau Bidong
Sasar 3,000 terumbu karang pulih menjelang 2027 di Pulau Bidong
Sasar 3,000 terumbu karang pulih menjelang 2027 di Pulau Bidong
Sasar 3,000 terumbu karang pulih menjelang 2027 di Pulau Bidong

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Sebanyak 1,000 anak benih terumbu karang ditanam di Pulau Bidong, Terengganu menerusi Kempen Pemuliharaan Terumbu Karang.

Pengerusi Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Dato’ Simon Foong berkata kempen itu melibatkan kerjasama antara Aquawalk Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Jabatan Perikanan Malaysia.

Menurut Simon, proses penanaman anak benih tersebut antara inisiatif yang dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara ekologi marin laut di pulau tersebut.

[caption id="attachment_706189" align="aligncenter" width="713"] Pengunjung mengambil peluang untuk melakukan demonstrasi menanam semula batu karang di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kita sudah memulakan inisiatif ini dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Jabatan Perikanan Malaysia sejak 2018 lalu dan kempen ini juga telah memasuki fasa yang ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kempen Pemuliharaan Terumbu Karang di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Simon, Aquawalk Sdn Bhd turut memberi suntikan dana sebanyak RM52,500 kepada UMT untuk menjayakan kempen pemulihan tersebut.

Beliau juga yakin dengan usaha dan komitmen yang berterusan sasaran penanaman 3,000 anak benih ekosistem marin itu dapat dicapai menjelang 2027.

[caption id="attachment_706188" align="aligncenter" width="714"] Batu karang yang ditanam semula dengan menggunakan teknik "One For All" ketika tinjauan lensa Media Selangor di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.[/caption]

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Dato' Azahari Othman berkata pemuliharaan terumbu karang amat penting untuk stok ikan negara.

Selain menjaga kebersihan alam marin, beliau memberitahu keadaan cuaca panas dan ketiadaan hujan dalam tempoh panjang juga boleh menjadi faktor kepada kesihatan terumbu karang terjejas.

“Kewujudan terumbu karang ini dilihat sebagai ekosistem marin yang menjadi tempat hidupan laut terutama ikan untuk membiak dan berlindung dari pemangsa,” jelasnya.

[caption id="attachment_706187" align="aligncenter" width="720"] Profesor Dr James Tan dalam pengkongsian mengenai menanam semula batu karang di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Prof Madya Dr James Tan Chu Hong memaklumkan usahanya mewujudkan Kaedah Semua Untuk Satu memudahkan penglibatan daripada orang awam dan sukarelawan.

“Kaedah tersebut diguna pakai ketika penyelenggaraan bulanan yang dibuat sekitar bulan Mac hingga Oktober di Pulau Bidong dengan memotong dan membuang bahagian atas terumbu karang lama dan digantikan dengan anak benih terumbu karang baru.

“Proses penggantian terumbu karang itu juga tidak susah dan orang awam atau sukarelawan yang terlibat juga boleh memahami kaedah tersebut dengan mudah dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih berilmu,” tambahnya.