AGENDA

SPRM syor majlis agama tubuh undang-undang khas urus kewangan masjid, surau

28 Mei 2025, 7:30 PM
SPRM syor majlis agama tubuh undang-undang khas urus kewangan masjid, surau
SPRM syor majlis agama tubuh undang-undang khas urus kewangan masjid, surau

Oleh Ufairah Tarmidzi

HULU LANGAT, 28 MEI: Majlis agama negeri disaran menggubal undang-undang khusus untuk mentadbir pengurusan kewangan institusi keagamaan seperti masjid dan surau bagi mengekang penyelewengan dalam kalangan ahli jawatankuasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata cadangan itu dibuat susulan penerimaan pelbagai laporan berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan rumah ibadat.

“Isu pengurusan masjid amat penting kerana ia melibatkan imej Islam. Namun, kita lihat masih ada kelemahan dari segi kawalan tatakelola kewangan walaupun ada masjid yang mengurus dana dalam jumlah besar.

“Justeru, peraturan khusus di bawah bidang kuasa majlis agama negeri perlu diwujudkan supaya pemantauan dapat dilakukan dan tindakan boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Polisi Integriti Universiti Islam Selangor di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di sini, hari ini. Hadir sama Naib Canselor UIS Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

[caption id="attachment_703184" align="aligncenter" width="772"] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menandatangai papan peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor sambil diperhatikan Naib Canselor Universiti Islam Selangor Dato' Profesor Dr Mohd Farid Abdullah pada 28 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan pihaknya menghadapi kekangan untuk mengambil tindakan tegas kerana tiada peraturan jelas dalam undang-undang tadbir negeri berkaitan pengurusan dana masjid dan surau.

Katanya, walaupun SPRM masih boleh bertindak di bawah Akta SPRM, peruntukan sedia ada bersifat umum dan tidak komprehensif berbanding entiti lain seperti koperasi yang tertakluk kepada undang-undang kewangan lebih terperinci.