Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 21 MEI: Langkah Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita iklan berkaitan vape disambut baik orang ramai yang melihatnya sebagai usaha tepat membendung ketagihan khususnya dalam kalangan belia.
Peniaga Al Imron Abu, 60, berpendapat inisiatif sebagai permulaan yang kepada tindakan lebih menyeluruh termasuk pengharaman sepenuhnya rokok elektronik di Selangor pada masa hadapan.
[caption id="attachment_702213" align="aligncenter" width="768"]
Peniaga Al Imron Abu, 60,[/caption]
"Menantu saya pernah dimasukkan ke hospital kerana masalah paru-paru akibat vape. Kalau boleh, saya sokong penuh kalau vape diharamkan terus.
"Budak-budak sekarang pun ramai guna. Kerajaan kena lebih tegas dan keluarkan iklan kesedaran," katanya ketika ditemui Media Selangor di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini.
Pandangan sama turut dikongsi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alia Shahira, 22, yang mahu undang-undang berkaitan segera diketatkan demi kesihatan awam.
[caption id="attachment_702211" align="aligncenter" width="812"]
Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alia Shahira, 22,[/caption]
“Gejala vape tidak sepatutnya jadi normal. Kerajaan perlu kukuhkan undang-undang, manakala pengguna pula harus cari alternatif lebih sihat, bukan sekadar tunggu tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Nadiyah, 30, menyuarakan kebimbangan apabila melihat semakin ramai kanak-kanak mula menghisap vape.
[caption id="attachment_702212" align="aligncenter" width="811"]
Penjawat Awam Nadiyah, 30,[/caption]
“Kalau dibiarkan, makin ramai yang akan terjebak. Kita perlu amalkan gaya hidup sihat dan elakkan tabiat bahaya ini dari awal,” katanya.
Semalam, Kerajaan Negeri mengarahkan semua PBT menyita iklan berkaitan vape di medium fizikal, digital dan LED sebagai langkah awal melindungi rakyat daripada pengaruh bahan tersebut.
EXCO kesihatan awam berkata tindakan itu selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang bertujuan melindungi generasi muda daripada bahaya vape.
Tambah Jamaliah Jamaluddin, mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan dasar larangan penjualan vape sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan cadangan melarang penjualan vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibawa ke sidang Dewan Negeri akan datang.


