KUALA SELANGOR, 13 MEI: Kerajaan Negeri sedia menjadi perantara bagi menyelaras rundingan antara mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dengan syarikat insurans.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dibincangkan bersama dalam mesyuarat unit bencana negeri petang ini, termasuk beberapa isu berbangkit lain.
“Kita akan tengok beberapa isu berbangkit hari ini dan Kerajaan Negeri juga mungkin boleh bantu untuk jadi orang tengah, kerana ini ada perjanjian antara kedua pihak.
“Bagaimanapun kita mahu selesaikan masalah asas dahulu termasuk isu sewa rumah kerana masih ada lagi yang belum selesai,” katanya pada sidang media.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600, di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali.
[caption id="attachment_700826" align="alignnone" width="935"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat stesen pam SJAM majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Media tempatan sebelum ini melaporkan sebahagian mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan.
Sementara itu, Amirudin berkata EXCO Kesihatan akan membentangkan kertas cadangan berhubung cadangan pengharaman penjualan rokok eletronik atau vape pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.
Jelasnya, perkara tersebut perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan golongan belia tidak mudah terpengaruh dengan vape yang penjualannya kini semakin meluas.
“Yang Berhormat Jamaliah Jamaluddkn akan bentangkan perkara ini dalam MMKN. Kita akan mempertimbangkan dan harus melihat aspek ini secara menyeluruh,” katanya.
Bulan lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan penjualan vape dengan keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Keputusan itu susulan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang memaklumkan Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape berikutan ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.


