SHAH ALAM, 27 MAC: Kamus Inggeris Oxford (OED) mengemas kini beberapa perkataan pinjaman daripada bahasa Melayu antaranya "alamak", "mat rempit", "terror" dan "tapau".
Penerbit Oxford University Press dalam kenyataan memaklumkan sesuatu perkataan dipertimbang untuk dimasukkan ke dalam OED apabila ia mempunyai contoh penggunaan bebas daripada pelbagai sumber serta bukti bahawa ia digunakan dalam tempoh yang munasabah.
Perunding OED bagi perkataan pinjaman dari Malaysia ialah Prof Stefanie Pillai dari Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya dan Profesor Madya Stuart Robson dari Universiti Monash, lapor Berita Harian.
"Alamak" merupakan satu seruan yang digunakan untuk menyatakan kejutan, keterkejutan, kekecewaan atau kemarahan yang pertama kali direkodkan pada 1952 dan ia mungkin berasal daripada ungkapan dalam bahasa Arab dan Portugis.
Manakala "mat rempit" (2004) adalah gelaran bagi golongan lelaki muda yang terbabit lumba motosikal haram, "terror" (1977) membawa maksud negatif (teruk) atau positif (hebat atau cemerlang) serta "tapau" (1997) daripada dialek Kantonis yang bermaksud membungkus makanan untuk dibawa pulang.
Beberapa istilah berkaitan makanan juga ditambah, mencerminkan pengaruh masakan Malaysia seperti "ketupat", "otak-otak", "nasi lemak", "kaya toast" dan "half-boiled egg" merujuk telur setengah masak.


