SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri mempertimbang menjadikan e-sukan sebagai acara tambahan pada penganjuran Para Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata cadangan itu susulan Kerajaan Negeri mengenal pasti ada orang kurang upaya (OKU) berbakat dalam acara berkenaan yang dapat mengharumkan nama Selangor.
“Setakat ini, untuk Para SUKMA hanya 10 sukan teras dipertanding antaranya boccia, badminton, memanah… namun kita memang ada perbincangan untuk masukkan e-sukan sebagai sukan tambahan yang sebelum ini hanya mula dipertanding di SUKMA Sarawak tahun lalu.
“Kerajaan Negeri melihat golongan OKU mempunyai bakat dalam e-sukan cuma mereka tidak ada organisasi khusus untuk gilap bakat supaya lebih menyerlah,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_593212" align="alignnone" width="847"] Kejohanan e-Sukan Robotik Selangor XTIV di tapak parkir pasar raya Econsave Paya Jaras Sungai Buloh pada 15 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Baru-baru ini, Mohd Najwan memaklumkan kemungkinan perasmian untuk Para SUKMA yang sebelum ini dicadang di Stadium MBPJ ditukar ke stadium tertutup berikutan kapasiti lebih kecil selain hanya 10 sukan teras dipertandingkan.
Selangor menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menganjur sukan berprestij itu pada 1998.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.
Mohd Najwan yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 memaklumkan mesyuarat seterusnya menteri belia dan sukan akan memuktamadkan sukan tambahan temasya itu yang dijangka diadakan Mei depan.
“Kita mahu sukan tambahan yang dicadang memberi peluang kepada setiap atlet ketengahkan bakat masing-masing selain dapat harumkan nama Malaysia bagi sukan lebih besar,” katanya.