SHAH ALAM, 3 MAC: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri mulai 2026 akan dibentang tahun depan, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerangka itu antaranya memberi tumpuan kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan negeri.
“RS-2 yang akan saya bentang tahun depan, kita akan melancarkan jajaran rel Selangor. Kita nak tengok macam mana utara dan selatan Selangor yang tidak terhubung jajaran LRT, MRT dihubungkan.
“Jadi kalau kita dapat sampaikan Kuala Langat, Sepang, Sabak Bernam, Sekinchan. Itu impian saya, saya nak tengok orang boleh duduk di Sekinchan, tapi kerja di Petaling Jaya hari-hari naik kereta api. Saya sedang bincang bagaimana kos nak membangunkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Teh Tarik, Kopi O terbitan Selangor FM, hari ini.
Amirudin berkata pentadbiran negeri juga konsisten meningkatkan mobiliti rakyat menerusi pembangunan pengangkutan awam termasuk menyediakan kemudahan bas Smart Selangor dengan lebih 100 laluan secara percuma.
[caption id="attachment_688662" align="aligncenter" width="1056"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pimpinan Kerajaan Negeri bergambar bersama ketika pelancaran perkhidmatan bas elektrik bagi program Bas Smart Selangor sejurus tiba di pekarangan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 24 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selain itu, perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) dan bas elektrik di laluan khas dengan empat bas disediakan bagi menjamin frekuensi antara 15 hingga 20 minit,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata sebahagian bandar dan lokaliti di Selangor yang dibangunkan sejak 1970-an kini memerlukan peremajaan semula bandar bagi mengelak kemunduran kualiti infrastruktur.
“Setengah lokaliti sudah berusia 40 hingga 50 tahun ke atas, jadi kita perlu peremajaan semula bandar.
“Ini cabaran besar yang saya rasa kita perlu buat dalam masa terdekat, kalau tidak beberapa lokaliti akan merudum kualitinya, rumah tidak terkini, sistem ketinggalan zaman. Contohnya perpaipan, paip lama jenis kecil dan sebagainya,” katanya.
Pemukiman Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersama Amirudin pada 28 Februari membincangkan prestasi semasa Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menerusi beberapa indikator utama.
Ia turut membincangkan kerangka awal RS-2 yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri mulai 2026 dalam memastikan Selangor kekal menjadi negeri peneraju ekonomi.
RS-1 diumum pada Julai 2022 bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.
Melibatkan beberapa projek besar antaranya Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.
[caption id="attachment_650717" align="aligncenter" width="1182"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat replika Kompleks Sukan Shah Alam ketika majlis sesi perasmian Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]


