Paginya muncul seorang lelaki tua
seperti biasa menggali temu pauh
sekejap lagi cuaca terlalu panas
sekarang tanah masih lembab lembut
ada temu pauh belum matang
dibiarkan menghirup zat alam
yang matang hasil rezeki pagi itu
jadi jualan gerai pasar tani
dan hidangan atas meja makan
itu waktu paling seronok
hadir, sebelum hilang satu per satu
aku menjamah ingatan itu
lelaki tua itu datukku
sekarang menjadi imej aku
kiranya kamu beruntung
kelak akan jadi imej kamu
antara tanah dan akar mencakar
tangan kasar itu tangan datuk
begitu diturunkan tabiat dan ilmu
tangan dan tubuh tidak akan abadi
tapi ingatan akan diagihkan
jangan bersedih, itu kitar alam
baldi sudah hampir penuh
balasan alam selepas keras usaha
seperti kepercayaan datuk
semakin dalam akar menjalar
semakin lumayan balasan alam.
Lee Keok Chih