SHAH ALAM, 28 FEB: Lima kes penyakit kusta dikesan di Selangor sejak awal tahun ini membabitkan tiga warganegara dan dua warga asing.
Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata kes dikenal pasti di lima daerah iaitu Hulu Langat, Sepang, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
“Sehingga Januari, dua kes dikesan di Hulu Langat dan Sepang manakala pada Februari, tiga kes dikenal pasti di Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
“Kes membabitkan tiga warganegara, termasuk seorang Orang Asli, dan dua warga asing. Tiada kanak-kanak dijangkiti kusta,” katanya kepada pemberita.
[caption id="attachment_689369" align="alignleft" width="500"]
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Khalthom Shamsudin bercakap kepada media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin dan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Dr Ummi Kalthom memaklumkan situasi penyakit kusta di Selangor berada dalam keadaan terkawal dan masyarakat dinasihatkan tidak bimbang.
Menurutnya, semua pesakit tidak memerlukan isolasi dan menerima rawatan susulan di hospital berhampiran kediaman masing-masing.
“Kita juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan sendiri untuk mampu mengenal pasti gejala yang berkaitan dengan kusta,” katanya.
Pada 19 Februari lalu, Negeri Sembilan merekodkan satu kematian membabitkan seorang remaja Orang Asli berusia 18 tahun, yang dijangkiti kusta dan telah mengalami demam selama seminggu.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata lapan lagi pesakit kusta sedang menerima rawatan, melibatkan lima penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan bakinya dari KOA Guntur.


