TANAH MERAH, 26 FEB: Kehilangan bayi lelaki berusia 19 bulan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini sejak Isnin lepas, diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, tanpa sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata siasatan mendapati keluarga bayi itu tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak berkaitan kehilangan terbabit.
Beliau berkata polis bersama pihak berkuasa lain terus mempergiat usaha mencari dan menyelamat (SAR) termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.
“Saya meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengaibkan keluarga serta mengganggu siasatan kes ini.
“Operasi SAR kini merangkumi kawasan dalam radius tiga kilometer dari lokasi bayi dilaporkan hilang membabitkan 40 anggota polis dan bomba,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Haki berkata pencarian tertumpu kepada lokasi awal kehilangan bayi itu termasuk kawasan rumah mangsa, susur sungai, serta sepanjang tebing sungai berdekatan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kampung itu mendapati orang ramai memenuhi kawasan pencarian sejak Isnin lepas bagi mengikuti perkembangan operasi.
Difahamkan, rumah mangsa terletak di hujung kampung dengan sebuah anak sungai berada kira-kira 60 meter di hadapan kediaman terbabit.
Pada Isnin lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, dan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta penduduk kampung.
- BERNAMA


