SHAH ALAM, 21 FEB: Orang ramai diminta tidak menyebarluaskan video mangsa cabul membabitkan kanak-kanak yang berlaku di sebuah masjid di Batang Kali, awal pagi tadi.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata pengguna media sosial termasuk portal turut digesa menurunkan video yang memaparkan wajah mangsa dan keluarga bagi mengelakkan trauma yang lebih besar kepada mereka.
"Saya juga menyeru mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan polis dan percaya Polis Daerah Hulu Selangor akan mengendalikan siasatan terhadap suspek dengan cekap," kata Saifuddin Shafi Muhammad dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor mengesahkan pihaknya menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan merogol kanak-kanak di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali sekitar waktu Subuh.
Superintenden Ahmad Faizal Tahrim menerusi kenyataan berkata suspek berusia 19 tahun disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk dipohon reman.
Saifuddin yang juga Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar menyifatkan perlakuan suspek jika didapati bersalah perlu diadili dengan hukuman yang setimpal mengambil kira masa depan dan emosi mangsa yang terjejas.
"Semoga masyarakat kita terhindar daripada musibah-musibah seperti ini dan perbincangan tentang pencegahan jenayah akan dilaksanakan secara intensif oleh Pusat Khidmat DUN Batang Kali bersama IPD Hulu Selangor dari masa ke masa," katanya lagi.
Pagi tadi, tular di media sosial satu insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di masjid di Batang Kali.
Sehubungan itu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam meminta polis melakukan siasatan dan tindakan segera terhadap suspek dan menyifatkan tindakan biadab itu tidak sewajarnya berlaku terutama di masjid yang merupakan tempat beribadat umat Islam.
Dr Mohammad Fahmi juga khuatir tindakan itu boleh membawa persepsi negatif orang ramai bahawa masjid tempat tidak selamat dan terdedah kepada perbuatan jenayah.


