SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Negeri dicadang mempertingkat penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan premis berlesen tidak terlibat dengan kegiatan haram khususnya berkaitan e-sisa.
Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkata tindakan itu perlu memandangkan negara kini berdepan dengan ancaman besar iaitu sindiket e-sisa yang membabitkan premis-premis berlesen.
[caption id="attachment_688179" align="aligncenter" width="811"]
Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke 15 pada 21 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Sebanyak 22.9 juta kilogram e-sisa bernilai RM2.68 bilion berjaya dirampas di seluruh negara melalui operasi Op Hazard. Ini merupakan ancaman besar yang boleh bawa kepada jenayah, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan mengancam keselamatan awam.
"Sindiket e-sisa ini bukan saja beroperasi tanpa lesen tetapi ada yang guna premis berlesen, sewa tanah malah ada yang beroperasi di ladang sawit.
"Berikutan itu terdapat beberapa cadangan antaranya meningkat pemeriksaan dan penguatkuasaan, melarang import serta lelogan sisa elektronik termasuk menutup premis kitar semula yang tidak berlesen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul menjunjung titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Sebelum ini, ketika istiadat pembukaan sidang DNS, Sultan Selangor bertitah Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah strategik bagi memastikan pengurusan sisa yang lebih lestari dan berkesan.
Titah Baginda, ini berikutan Selangor sebagai negeri paling maju dan berpenduduk paling padat di Malaysia menghasilkan kira-kira 7,000 tan metrik sisa domestik setiap hari dengan kadar pertumbuhan sisa yang dijangka meningkat sebanyak tiga peratus setiap dua tahun.


