ad
BUDAYA

Pelajaran Aneh Dalam The Lesson

16 Feb 2025, 12:30 AM
Pelajaran Aneh Dalam The Lesson

Oleh Azrin Fauzi

KERANA siapa sangka sebilah pisau khayalan—yang direka-reka, yang tidak terlihat pun oleh kita—yang dipegang oleh si guru itulah yang telah mempertemukan anak muridnya dengan maut. Dengan maut! Kejur tak bernyawa. Menjadi kemuncak yang membangkitkan lagi rasa hairan sedari awal pementasan. Teater The Lesson—tak masuk dek akal! Teater The Lesson—tidak munasabah! Teater The Lesson—pelik bin ajaib! Dan teater ini… aneh.

Drama sebabak tulisan Eugène Ionesco yang dipanggilnya “antidrama” (atau “anti-pièce” dalam bahasa Perancis) ini telah diarahkan oleh Gloria Mujan bersama dengan pembantunya, Aish Mirza dan dipentaskan di BlackBox, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dari 11 hingga 12 Januari 2025. Teater terbitan KiniKana ini mengangkat terjemahan Dr. Roselina Khir dalam bahasa Melayu ke atas pentas.

Saya sendiri selaku salah seorang audiens yang sentiasa belajar untuk melihat bagaimana sesebuah naskhah asing dari luar itu bernafas dalam bahasa—atau lebih dalam tenggelam ke dalam alam—Melayu. Sebagaimana saya berasa puas bilamana watak Blanche DuBois mengungkapkan, “Siapa pun kau, aku selalu bergantung pada kebaikan orang yang tak kukenal,” dalam pementasan Trem Bernama Desire di Aswara sekitar 2018 yang juga diterjemahkan oleh Dr. Roselina Khir, berbeza dengan apa yang pernah saya baca dalam terjemahan Solehah Ishak (1991), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka: “Walau siapa pun kau sebenarnya, aku… aku selalu bergantung kepada kebaikan orang yang tidak aku kenali.” Sebagaimana juga saya berasa puas dengan watak-watak dalam Hamlet yang bukan sahaja bertutur dalam bahasa Melayu malah memanusia di alam Nusantara dalam sebuah pementasan arahan Fasyali Fadzly daripada terjemahan Ahmad Yatim di Aswara sekitar 2016 dahulu. Kalaulah ingatan tidak mengkhianati saya.

Pementasan The Lesson yang saya saksikan ini pula beraksi dengan memaksakan watak-watak “orang Perancis”-nya, sambil menyarung kostum ”Barat”-nya, untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Bukan memelayukan mereka. Bukan melepaskan mereka ke dunia tempatan. Adakalanya kedengaran janggal. Adakalanya pula kelihatan canggung. Sehinggakan pada satu-satu masa, saya membayangkan seperti sedang menonton sitkom alih bahasa di mana apa-apa yang didengar (janggal) dalam bahasa Melayu itu tidak selari dengan apa-apa yang dilihat (canggung) pada gerak bibir Perancis mereka! Dalam segala keanehan ini, pementasan begini berkesan. Pementasan ini… absurd.

“Absurd” atau dalam erti kata yang dimaksudkan oleh Martin Esslin dalam bukunya, The Theatre of the Absurd (1961) sebagai “out of harmony with reason or propriety; illogical.” Dalam The Lesson, dapat kita rasakan usaha Profesor (lakonan Danish Miqhail) yang sedaya upaya sedang memandaikan Anak Murid (Nuradilah Mirza), sesekali disampuk dan diperingatkan oleh Orang Suruhan bernama Marie (Hase’mah). Menjadi suatu cubaan untuk berhubung (sesama mereka bertiga di atas pentas); menjadi seakan-akan boneka tak bertali yang sedang cuba berkomunikasi dengan audiens (bersama dengan kita di hadapan pentas).

Suatu keterasingan yang dialami secara bersama. Keterasingan di mana bahasa gagal untuk berfungsi seperti kebiasaannya. Dan teater absurd menghadirkan bahasa yang telah ‘cedera’ dan serba ‘parah’ ini secara berulang—menimbulkan rasa tidak ‘kena’. Kerana sudah tidak berfungsi seadanya dalam kebiasaan percakapan manusia, bahasa hanya untuk mengisi ruang dan waktu—dengan pengulangan yang melelahkan—hanya untuk mengisi ruang dan waktu daripada untuk berhubung. Bahasa tidak lagi menanggung makna. Tidak juga meninggalkan apa-apa makna. Oleh sebab itu, watak Profesor sering sahaja menyuruh Anak Murid—dan mengajak kita—untuk “membayangkan”. Bayangkan itu, bayangkan ini, dan bayangkan… pisau.

Siapa sangka sebilah pisau khayalan yang dibayangkan—setelah pelajaran aneh tentang: Paris sebagai kota negara Perancis, segala cuaca dan musimnya, tanggapan tentang “majmuk”, aritmetik, filologi, terjemahan “Bunga-bunga ros kepunyaan nenek saya adalah sekuning datuk saya yang dilahirkan di Asia”, dan terjemah “pisau”—itulah menjadi imaginasi yang dijelmakan oleh kita semua untuk menamatkan riwayat Anak Murid. Dan kita tidak faham kenapa. Rasa hairan hadir bersama-sama ketidakpastian. “Teater absurd” memang berpaling daripada realiti, menolak naturalisme, dan menerjang sebarang logik. Dalam pelajaran aneh ini, kita terpanggil untuk berfikir. Dan kita bergelut menemukan makna dalam dunia yang tidak bermakna. Barangkali pergelutan inilah “makna” yang membahagiakan. Bahagia yang dikecap dengan belajar lagi dan lagi. Berulang kali.

Untuk belajar adalah untuk mendengar dan melihat. Selain Anak Murid, kita selaku audiens turut sama menjadi para pelajar yang mendengar dan melihat apa-apa yang ditutur dan diaksikan oleh Profesor. Dan untuk benar-benar mengecap apa yang diajarkan itu adalah untuk sentiasa berikan perhatian. Sepanjang teater The Lesson ini, perhatian atau pembelajaran Anak Murid kadangkala terganggu dengan kehadiran Marie dan pengajaran Profesor adakalanya pula terganggu (atau diganggu?) dengan beberapa bunyian: daripada Marie yang datang menyampuk; bising periuk yang diketuk di dapur, sehinggalah kepada teriakan Anak Murid yang sakit gigi. Sepanjang pelajaran, ada sahaja ganggguan demi gangguan yang dimunculkan untuk mengalihkan perhatian.

Siri gangguan yang belum diteroka sehabis mungkin dengan rekaan set berserta propnya. Saya telah diberikan tempat duduk paling hadapan yang dekat dengan meja yang dipenuhkan berbatang-batang lilin yang menyala—menyilaukan. Manakala para audiens yang duduk di sebelah yang lain pula dekat dengan sebuah radio—membingitkan? Ada sesuatu tentang silau dan bingit ini yang mampu memberikan tafsiran baharu kepada “gangguan” sepanjang “perhatian” diberikan dalam pelajaran The Lesson ini. Dengan manipulasi cahaya, dengan manipulasi bunyi, semestinya untuk kita melihat dan mendengar dengan mata dan telinga yang lebih segar. Mujurlah sesekali seluruh perhatian Anak Murid dan juga kita ditarik semula dengan pekikan dan hentakan kaki Profesor.

Selain momen-momen “naik syeikh” Profesor sedang bersyarah yang disokong dengan penataan cahaya yang berbeza lagi berkesan, ditegaskan dengan lampu sorot merah ke arah tegak tubuhnya, saya tertarik untuk mendengar dan melihat bagaimana Marie sebagai watak sampingan yang selalu dihilangkan dalam teks diberikan suara dan ruang baharu dalam pementasan ini. Tidak seperti watak Anak Murid dan Profesor yang dinyatakan arahan pentas buat mereka berdua—di mana ‘suara’ Anak Murid semakin dilenyapkan ke penghujung pementasan (“will fade almost into inaudibility”) manakala ‘suara’ Profesor pula semakin berkuasa (“to an extremely powerful, braying, sonorous instrument at the end”)—dalam skrip, watak ini diletakkan di ruang dapur yang lebih tinggi dengan lontaran suara yang sebenarnya sedang mengawal si Profesor ini dari atas. Malah menjadi sosok yang boleh kita lihat gerak dan lakunya sepanjang pementasan berdurasi sejam ini. Langsung memberikan tafsiran lain tentang persoalan kelas dan gender dalam The Lesson yang ini.

Sehinggakan apabila Marie mulai memarahi Profesor dengan, “Amboiiii…” sambil pegang senduk sebaik sahaja nyawa seorang gadis telah direnggut dengan sebilah pisau khayalan di tangan tuannya itu, saya tertawa dan terus ketawa. Benarkah watak ini sudah masuk ke dalam dunia Melayu? Amboiiii… mungkin saya kena tamatkan pertanyaan dan pelajaran aneh ini dengan kata-kata Martin Esslin lagi: “And that is why, in the last resort, the theatre of the absurd does not provoke tears of despair but the laughter of liberation.”

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.