ad
BERITA UTAMA

Tegak atas noda dan darah, Israel rogol, hina gadis Palestin

14 Feb 2025, 2:00 AM
Tegak atas noda dan darah, Israel rogol, hina gadis Palestin
Tegak atas noda dan darah, Israel rogol, hina gadis Palestin
Tegak atas noda dan darah, Israel rogol, hina gadis Palestin
Tegak atas noda dan darah, Israel rogol, hina gadis Palestin

Laporan tentera ini, yang didedahkan sebuah akhbar Israel pada 2003, disediakan untuk pegawai atasan setelah seorang remaja Arab Badwi dirogol bergilir-gilir pada 12 Ogos 1949.

Oleh kerana gadis kecil ini, sama ada usianya 10 hingga 15 tahun atau 15 hingga 20 tahun, diperkosa, maka ketua platun rasa dia layak dibunuh (keratan laporan).

Laporan ini tidak tepat. Lelaki Badwi yang bersenjata ini bukan daripada kumpulan tiga orang, termasuk remaja perempuan. Kumpulan ini bersama sekawan unta tidak bersenjata.

Operasi mengawal sempadan, tidak jauh dari wilayah Mesir, bermula 9 pagi 12 Ogos. Apabila dua lelaki dan remaja diperiksa, mereka disahkan tidak membawa sebarang senjata.

Tentera menembak ke udara, dua lelaki itu lari lintang-pukang. Remaja yang tidak bersalah itu ditangkap dan dibawa ke kem sementara. Pekikan dan laungan gadis tidak diendah.

Kem ini dianggotai pendatang asing dari pelbagai negara Eropah yang tidak tahu berbahasa Ibrani. Mereka menggunakan bahasa isyarat. Mereka juga tidak cukup latihan dan kurang disiplin.

Namun, beberapa pegawai atasan termasuk ketua platun cukup terlatih dan berpengalaman. Pernah bersama tentera Britain, dialah yang tandatangan laporan ringkas ini, bertarikh 15 Ogos 1949.

Tentera peninjau ini sampai ke kem tengah hari malang itu, 12 Ogos. Kebetulan seorang pegawai lebih tinggi melawat kem tersebut.

Menyedari ada remaja Badwi, dia arahkan perempuan itu dibebaskan di tempat asal dia ditangkap. Tetapi ... arahan ini tidak dipeduli.

Remaja itu ditelanjang dan dimandikan secara terbuka. Kemudian berlakulah insiden rogol. Rambutnya dipotong pendek dan dilumur dengan kerosin (minyak tanah).

Pakaian asalnya dibakar. Gadis dipakaikan seragam ala tentera dan disimpan di sebuah khemah kosong. Remaja ini mengadu kepada ketua platun dia diperkosa tetapi aduannya tidak diendah.

Tidak berhati perut

Malah, ketua askar itu berkata si remaja patut dibersihkan sebelum dinodai lagi pasukan kecil tentera Israel itu.

Pagi esoknya, 13 Ogos 1949, beliau dibawa kira-kira 500 meter di luar kem. Seluarnya ditanggalkan, hanya tinggal baju menuju takdirnya yang maha perit.

Pasukan kecil tentera itu membawa cangkul. Tersedar nyawanya bakal melayang, remaja Badwi itu cuba melarikan diri.

Tetapi sebutir peluru singgah di kanan kepalanya. Dia jatuh tertiarap. Risau remaja itu belum benar-benar mati, beberapa das tembakan dihalakan ke jasad yang sudah kaku.

Kuburnya tidak dalam. Hanya satu kaki tempat terakhir perginya gadis kecil ini. Hilang lenyap di bawah padang pasir Naqab (Negev), tidak jauh dari penempatan pertanian (kibbutz) Nirim, berdekatan Khan Younis di Gaza.

Berita pembongkaran insiden awal ini, hanya setahun 90 hari dari tanggal berdiri negara haram Israel, memakai tajuk “I saw fit to remove her from the world”, ayat terakhir dalam laporan ringkas tentera.

Dalam bahasa mudah, maksudnya: oleh kerana dia sudah diperkosa, saya fikir layaklah dia dibunuh. Bunyi ayat laporan tersebut, seperti didedah akhbar Haaretz, sungguh sombong, selamba dan tidak berhati perut.

Dari berita inilah (keratan akhbar) muncul novel pendek Tafsil Thanawi karya Adania Shibli. Diterjemah kepada beberapa bahasa seperti Perancis dan Jerman, edisi Inggeris berjudul Minor Detail.

Anugerah ditunda

Beliau dijadual menerima LiBeraturpreis 2023 pada 20 Oktober, anugerah untuk penulis Arab, Asia, Afrika dan Amerika Latin, sempena pesta buku terbesar di Frankfurt.

Tetapi tiba-tiba penganjur memaklumkan ia “ditunda” akibat perang Hamas-Israel pada 7 Oktober. Sampai sekarang anugerah tersebut tidak disampaikan.

Lebih 600 pengarang termasuk pemenang Hadiah Nobel membantah tindakan tersebut. Susulan penangguhan anugerah tersebut, penerbit negara-negara Arab, Malaysia dan Indonesia memulaukan pameran buku antarabangsa ini.

Melalui Siri Pencerahan Selangor, Kerajaan Negeri menterjemah novel Arab ini dengan tajuk Perincian setelah beberapa kali berbincang dengan pengarang asal. Grafik kulit novel terjemahan ini juga dipersetujui bersama.

Apa yang berlaku setelah gadis Badwi itu terbunuh? Watak dalam novel ini ingin memahami di mana dan bagaimana peristiwa itu berlaku di padang pasir. Apa ada di sana, tinggalan sejarah yang terbongkar lebih 50 tahun.

Maka watak ini mengembara sendirian dengan berkereta sejauh lebih kurang 200 kilometer dari Ramallah di Tebing Barat.

Peta ini (kiri) menunjukkan perjalanan watak tersebut dari pusat pemeriksaan keselamatan di Qalandia ke muzim tentera sebelum tiba di Nirim, lokasi berdekatan kejadian bunuh.

Namun di manakah lokasi sebenar pembunuhan tersebut? Di manakah kem sementara tempat gadis itu dinodai? Watak itu terus mencari-cari ...

Selain novel ini, Adania pernah menghasilkan Keep Your Eye on the Wall: Palestinian Landscapes (2013), We Are All Equally Far from Love (2012) dan Touch (2010).

Minor Detail disenarai pendek untuk Anugerah Buku Kebangsaan bagi Sastera Terjemahan pada 2020 dan setahun kemudian disenarai panjang untuk anugerah lebih berprestij Hadiah Booker.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.