PUCHONG, 13 FEB: Taktik empat kilang menggunakan penandaan Standard Malaysia (MS) 224 yang tidak sah pada tayar celup pneumatik untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar apabila diserbu dalam operasi bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sekitar Selangor hari ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi bersepadu yang dilakukan hasil risikan dan intipan selama sebulan itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
“Dalam serbuan bermula 8.30 pagi itu, kita menyita 262 unit tayar celup pneumatik dan beberapa dokumen perniagaan bernilai RM80,410 daripada premis yang dipercayai mengilang dan membekalkan tayar celup tidak mengikut piawaian.
“Pemeriksaan mendapati pengilang berkenaan tidak mendapat pensijilan daripada Sirim QAS International Sdn Bhd tetapi tetap menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka,” katanya dalam sidang media di salah sebuah lokasi serbuan di sini hari ini.
Beliau berkata perbuatan itu melanggar Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 dan boleh mengancam keselamatan pengguna di jalan raya.
Siasatan awal juga mendapati walaupun lesen untuk menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka telah tamat sejak 2023 lagi, namun pengilang berkenaan masih meneruskan kegiatan itu.
“Pada 2023, 194 aduan berkaitan tayar celup diterima, diikuti 296 aduan pada tahun lalu dan setakat 12 Februari, 28 aduan dilakukan pengguna yang prihatin tentang keselamatan tayar celup dikeluarkan kedai ini.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan orang ramai. Kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sedang meneliti kebolehlaksanaan beberapa prosedur tambahan, termasuk mewajibkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk melabel tayar kenderaan yang menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian MS 224.
“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan tayar celup di pasaran supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan produk yang tidak menepati spesifikasi keselamatan,” katanya.
- BERNAMA


