SHAH ALAM, 5 FEB: Sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi mengkaji semula operasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) termasuk mengesyorkan pelan perniagaan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata usaha itu bagi mengenal pasti dan menambah baik pelaksanaan operasi serta pengurusan Nafas sekali gus dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.
“Kita akan kaji semula operasi yang telah dijalankan oleh Nafas dan kita ingin menambah baik penstrukturan bagi memastikan operasi Nafas itu sentiasa sampai kepada golongan sasar,” kata Datuk Arthur Joseph Kurup di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai strategi pembaharuan menyeluruh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melindungi reputasi dan integriti Nafas.
Menurutnya lapan strategi dan hala tuju ditetapkan dalam merangka penambahbaikan Nafas, termasuk penambahbaikan tatakelola melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 ke arah menambahbaik komposisi dan tatakelola Ahli Jemaah Pengarah bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi.
Selain itu, penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus mengikut Skim Perkhidmatan Personel Nafas serta pertubuhan itu perlu menyusun semula kakitangan sedia ada mengikut bidang keutamaan dalam operasi dan perniagaannya dengan kawalan dan had kuasa kakitangan akan ditetapkan dalam dokumen Limit of Authority (LoA).
Turut terlibat penstrukturan semula syarikat subsidiari Nafas dan audit pengurusan serta pemantauan berterusan secara berjadual untuk memastikan ketelusan dalam urusan kewangan dan keputusan pentadbiran.
Selain itu, pengukuhan mekanisme semak dan imbang melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bebas dan bertanggungjawab mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa.
Strategi lain, penguatkuasaan kod etika dan integriti bagi memastikan semua Ahli Jemaah Pengarah dan kakitangan
mematuhi standard integriti yang tinggi dan pemulihan kepercayaan awam melalui kempen kesedaran awam bagi memulihkan imej Nafas.
Selain itu, mempelbagaikan sumber pendapatan Nafas dengan melaksanakan kajian semula perniagaan dan projek
semasa bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja.
Bermula 1 November 2024, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung perlembagaan Nafas di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kewujudkan kartel dan pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.


