AGENDA

MB: Selangor negeri untuk semua kaum, jangan mudah terperdaya politik ekstrem

1 Feb 2025, 4:19 PM
MB: Selangor negeri untuk semua kaum, jangan mudah terperdaya politik ekstrem
MB: Selangor negeri untuk semua kaum, jangan mudah terperdaya politik ekstrem
MB: Selangor negeri untuk semua kaum, jangan mudah terperdaya politik ekstrem

SABAK BERNAM, 1 FEB: Dato’ Menteri Besar menyeru masyarakat supaya tidak mudah terperdaya dengan permainan politik ekstrem yang dibawa sesetengah pihak.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata politik ekstrem kini semakin berkembang di sesetengah tempat dengan menyebarkan fitnah kebencian yang membangkitkan kemarahan dan memecah belah satu sama lain.

“Dalam kalangan Melayu mereka akan tuduh kerajaan sekarang beri perhatian kepada bukan Melayu manakala bagi bukan Melayu pula menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kuil dan sekolah.

“Kerajaan Selangor membantu semua kaum mengikut keperluan penduduknya. Selangor negeri untuk semua bukan untuk mana-mana kaum, agama atau kelompok,” katanya.

[caption id="attachment_684970" align="aligncenter" width="950"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Selangor 2025 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 1 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Berucap pada sambutan perayaan Thaipongal peringkat Selangor di Dewan Seri Sekinchan di sini, Amirudin memaklumkan tindakan Kerajaan Negeri meminta lembu di Ladang SD Guthrie dialihkan adalah demi keselamatan penduduk.

“Kita bukan minta keluarkan begitu sahaja tetapi tawarkan tempat sebagai alternatif supaya ternakan dijaga dengan baik dan tidak membahayakan serta mencederakan penduduk.

“Ada hantar memorandum kata kita kejam. Kalau kejam kita tak tawarkan tempat. Bagi Kerajaan Negeri, kepentingan dan keselamatan masyarakat lebih besar dan menjadi keutamaan,” ujarnya.

Disember lalu, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dalam sidang media memaklumkan semua penternak yang melepaskan lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam diarah memindahkan ternakan mereka ke kawasan lebih selamat selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Rizam berkata arahan memindahkan lebih 1,000 ekor lembu itu berikutan ternakan berkenaan memberi ancaman keselamatan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan situasi menang-menang dalam menyelesaikan isu penternak lembu itu dengan mencadangkan tiga tapak tanah baharu.

Tapak yang dicadangkan adalah tanah warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Sungai Apong, tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Mukim Sungai Panjang atau tanah warta pentadbir Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap.

[caption id="attachment_684971" align="aligncenter" width="1236"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai selepas majlis Perasmian Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Selangor 2025 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 1 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]