AGENSI

Selangor, KPDN sasar 2,000 lokasi jualan murah tahun ini

26 Jan 2025, 7:09 AM
Selangor, KPDN sasar 2,000 lokasi jualan murah tahun ini
Selangor, KPDN sasar 2,000 lokasi jualan murah tahun ini

PETALING JAYA, 26 JAN: Sebanyak 2,000 lokasi Jualan Rahmah Madani dirancang sepanjang tahun ini berbanding hanya 1,400 pada 2024, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sering mendapat sambutan baik masyarakat.

“Jualan Rahmah Madani ini biasanya kita laksanakan dengan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dibuat oleh PKPS, yang mana PKPS merupakan rakan strategik.

“Tahun ini kita sasar sebanyak 2,000 jualan, ada jualan yang bersifat setempat dan bergerak. Jualan ini merupakan langkah berterusan untuk bantu ringankan beban rakyat,” katanya pada sidang media.

Beliau meluangkan masa meninjau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Pasaraya NSK Kota Damansara di sini. Hadir sama EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey.

[caption id="attachment_683941" align="alignnone" width="848"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di pasar raya NSK Kota Damansara, Petaling Jaya pada 26 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

SHMMP berkuatkuasa selama sembilan hari bermula semalam hingga 2 Februari membabitkan 15 jenis barangan kawalan bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 211.

Antara barangan tersebut adalah ikan bawal putih, cili merah, lobak merah, lobak putih, bawang putih, udang besar putih, bawang merah besar, dan sayur sawi pendek.

Dalam pada itu, Amirudin memuji kadar pematuhan tinggi peniaga termasuk Pasaraya NSK Kota Damansara yang mempamerkan harga barangan lebih rendah berbanding ditetapkan.

“Secara peribadi saya tidak terima apa-apa laporan berkaitan kenaikan harga. Menurut KPDN Selangor, tahun lepas ada kesalahan tetapi setakat ini belum ada rekod kesalahan diambil. Ini membuktikan pematuhan tinggi oleh peniaga,” katanya.