KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebanyak 1,106 kenderaan diperiksa dengan 124 daripadanya dikenakan tindakan ketika Op Sepadu Tahun Baharu Cina oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Pengarahnya Hamidi Adam berkata kesalahan terbanyak dikesan adalah tiada lesen memandu iaitu 103 kes, diikuti tiada cukai jalan (70), tiada insurans (58), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (18), ubah suai kenderaan (satu) dan tiada cermin sisi (satu), dengan 253 notis dikeluarkan.
Beliau berkata dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam di Jalan Raja Laut itu, lapan motosikal termasuk sebuah yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tiga kereta disita.
“Tujuan operasi adalah untuk menyahut seruan kerajaan melalui kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya ketika Tahun Baharu Cina minggu hadapan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan operasi berkenaan.
Operasi itu turut disertai agensi penguat kuasa lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan jumlah keseluruhan 73 petugas.
[caption id="attachment_683876" align="aligncenter" width="1081"]
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengadakan Op Sepadu Tahun Baharu Cina di Jalan Raja Laut pada 25 Januari 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Beliau berkata JIM turut menahan lapan pendatang asing terdiri seorang warga Pakistan, tiga Indonesia dan empat Bangladesh dengan seorang daripadanya pekerja sebuah syarikat pembersihan tanpa lesen memandu sah.
“Saya ingin nasihatkan kepada majikan, selain memastikan pekerja asing mempunyai pas sah untuk memandu kenderaan juga perlu ada lesen memandu sah,” katanya.
AADK pula mengesan lima individu positif penyalahgunaan dadah manakala PDRM mengeluarkan 62 notis dalam operasi berkenaan.
Hamidi berkata bagi tempoh Isnin hingga Jumaat, JPJ Kuala Lumpur memeriksa 808,436 kenderaan dengan 915 daripadanya diambil tindakan dan menegaskan operasi sempena Tahun Baharu Cina akan diteruskan hingga 9 Februari.
Beliau berkata berdasarkan rekod pada Khamis, bagi tempoh 10 pagi hingga 10 malam 1.27 juta kenderaan memasuki pusat bandar Kuala Lumpur dan berpotensi menyebabkan kesesakan jalan raya namun pemantauan berterusan masih dijalankan.
- BERNAMA


