AGENDA

Atlet paragliding meninggal dunia selepas terjatuh ketika jalani latihan

5 Jan 2025, 12:54 AM
Atlet paragliding meninggal dunia selepas terjatuh ketika jalani latihan

BANGKOK, 4 JAN: Atlet paragliding negara, Muhammad Nurniqmat Ruslan meninggal dunia selepas terjatuh ketika menjalani latihan di pantai Hua Hin, Prachuap Khiri Khan di sini Jumaat lalu.

Bapa Muhammad Nurniqmat, Ruslan Mehat, 64, berkata dia mengetahui kemalangan itu pada petang Jumaat sebelum menempah tiket penerbangan ke Bangkok awal pagi Sabtu dan meneruskan perjalanan ke Hua Hin.

Beliau berkata Nurniqmat, 31, yang bertugas sebagai jurutera sokongan teknikal di kilang IBM, merupakan anak yang penyayang terhadap keluarga dan aktif dalam sukan paragliding sejak dua tahun lalu.

"Kami tidak menyangka dia terlibat dalam kemalangan dan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Ruslan turut memaklumkan anak bongsunya itu adalah pesakit buah pinggang dan menjalani pemindahan buah pinggang dua tahun lalu.

"Arwah sangat gembira selepas menerima buah pinggang dan sering bersyukur kerana organ yang saya dermakan itu sesuai dengan badannya," katanya sebak.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada petugas Kedutaan Besar Malaysia di Thailand yang banyak membantu menguruskan jenazah dari Hua Hin ke Bangkok untuk dikebumikan.

Sementara itu, rakan arwah, Rafiee Aziz, 48, yang turut menjalani latihan di Hua Hin ketika kejadian berkata Nurniqmat adalah seorang atlet berbakat dan layak ke pra Piala Dunia Paragliding di India pada Februari serta Kejohanan Asia di Kazakhstan pada Mei.

"Kami sama-sama jalani latihan di pantai Hua Hin dan cuaca ketika itu agak baik, namun tiba-tiba kemalangan berlaku dan Nurniqmat terjatuh ke laut.

"Saya bersama rakan-rakan yang lain cuba menyelamatkannya, namun arus ketika itu sangat kuat. Nurniqmat kemudian disahkan meninggal dunia di hospital di Hua Hin," katanya.

Jenazah Nurniqmat disolatkan di sebuah masjid di Hua Hin sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul Abideen di Bangkok dan selamat dikebumikan pada jam 6 petang waktu tempatan.

Allahyarham merupakan adik kepada petugas Bernama Radio, Nurliyana Farhah Ruslan, yang bertugas di Kuala Lumpur.

- BERNAMA