SHAH ALAM, 3 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru umat Islam di negeri ini memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat yang menekankan kepentingan penyatuan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kekuatan umat terletak kepada kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat, menghormati pandangan pihak lain dan mengutamakan kepentingan bersama dalam membangunkan Islam.
Tegas baginda, budaya menyesatkan atau mengkafirkan sesama Islam perlu dijauhkan kerana ia merosakkan keharmonian umat serta menyumbang kepada perpecahan yang lebih besar.
"Umat Islam perlu sedar dengan realiti semasa yang amat memilukan. Walaupun Islam telah menetapkan panduan yang jelas tentang sikap dan akhlak dalam menghadapi perbezaan, namun perbezaan aliran pemikiran mazhab, politik, dan isu-isu lain sering kali mencetuskan persengketaan dan permusuhan yang berlarutan dalam kalangan umat Islam. Adakah kita lupa bahawa umat Islam itu bersaudara?.
"Sejarah menjadi saksi bahawa kejatuhan tamadun Islam di Andalusia, kelemahan pengurusan pentadbiran negara di era Daulah Abbasiyah, dan perpecahan dalam khilafah Uthmaniyyah semuanya bermula dari pertelingkahan dalaman," menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.
Baginda mengingatkan kegagalan umat Islam untuk bersatu membuka peluang kepada musuh untuk menghancurkan satu demi satu.
"Perlu diingat bahawa perpecahan dalam kalangan umat Islam adalah ancaman besar dari dalam yang meruntuhkan kekuatan umat, menggugat solidariti, dan menjadikan kita mudah dipecah belah sebagaimana pepatah melayu yang sering kita dengar 'bersatu teguh, bercerai roboh'.
"Jangan biarkan perkara yang boleh dirunding secara harmoni menjadi punca runtuhnya ukhuwah Islamiah. Islam mengajar kita untuk saling menghormati walaupun berbeza pandangan dan cara fikir," menurut kenyataan itu.
Baginda juga mahu tahun baharu 2025 sebagai titik penting umat Islam untuk memperbaiki hubungan, menyatukan hati dan memperkukuhkan ukhuwah.


