Suka atau tidak, falsafah antara bidang penting dalam ranah kehidupan. Meski kurang diberi perhatian oleh masyarakat umum, disiplin ilmu itu mencorak jalur pemikiran manusia.
Bidang tersebut banyak hubung kaitnya dengan aspek lain termasuk sains, matematik, politik dan agama sekali gus memiliki pengaruh besar lagi meluas dalam pelbagai cabang kehidupan.
Menerima geran Kerajaan Selangor, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) antara penerbit buku yang giat menterjemah karya ahli falsafah terkenal dunia, dari Yunani, Barat hingga tokoh Islam.
Sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Setia City antara 27 November hingga 3 Disember dan Hari Falsafah Sedunia yang dirai pada 21 November pada tahun ini, wartawan Abdul Rahim Sabri mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi.
Buku falsafah yang bagaimana menjadi pilihan IBDE untuk diterjemah?
IBDE bermatlamat untuk menerbitkan karya-karya agung dunia dalam pelbagai bidang, baik falsafah, sejarah mahupun biografi.
Bagaimanapun, kami sedar tahap pembacaan dan kemampuan bahasa masyarakat Malaysia secara umum.
Jadi, pemilihan judul falsafah yang berat perbahasannya dan kurang peminatnya mengambil kira masyarakat umum atau dalam kata lain, pasaran yang lebih luas.
Dalam bidang falsafah, IBDE berminat untuk menggali karya-karya agung dari pelbagai belahan dunia, baik yang sealiran atau bertentangan aliran, sekali gus menjadi penerbit yang tidak hanya menerbitkan buku-buku terjemahan baharu, tetapi juga sebahagian pencetus idea-idea baru.
Bagaimana sambutan terhadap buku falsafah? Kelompok manakah yang meminati bidang tersebut?
Buku-buku ini mendapat sambutan dalam peminat falsafah Malaysia khususnya yang meminati falsafah politik serta pelajar universiti yang mempelajari kursus falsafah di universiti.
[caption id="attachment_675790" align="alignleft" width="415"] Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi[/caption]
Tokoh-tokoh yang mesra dengan pembaca Malaysia seperti Imam al-Ghazali, Plato, Rene Descartes (dan) Voltaire mudah menarik minat pembaca untuk menggali falsafah yang dikemukakan oleh ahli falsafah tersebut.
Buku falsafah banyak mendapat permintaan dan minat dalam kalangan pembaca tetapi mereka tidak tahu ingin memulakan pembacaan dari tokoh atau buku yang mana satu.
Maka, buku pengenalan falsafah sesuai untuk membuka peta pembacaan falsafah yang bersesuaian dengan tahap pembaca tersebut.
Siapakah tokoh falsafah yang bukunya banyak diterjemah IBDE? Mengapa?
Imam al-Ghazali dan Voltaire. Keilmuan al-Ghazali mencakupi banyak bidang. Dalam lapangan falsafah, pandangannya sedikit sebanyak mencerap falsafah lama agar selari dengan Islam.
Kita telah terjemah dua karya Voltaire, pemikir terkemuka pada Zaman Pencerahan yang memberi sumbangan besar kepada falsafah dalam karya-karyanya yang mementingkan kebebasan berfikir dan hak-hak sivil.
Berapakah jumlah cetakan setiap buku falsafah? Buku manakah yang rancak penjualannya?
Setiap buku satu cetakan sahaja manakala buku Renungan Metafizik memasuki cetakan kedua dengan kulit baharu dan edisi kemas kini yang bakal terbit dalam masa terdekat.
Berapakah lagi buku falsafah yang akan diterbitkan tahun ini khususnya untuk Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF 2024)?
Antara buku falsafah yang diterbitkan dan diberi penekanan dalam SIBF 2024 adalah buku Cetera Falsafah. Buku karangan Bryan Magee merupakan ringkasan sejarah dan perkembangan falsafah Timur dan Barat.
Buku ini sarat maklumat dan penjelasan tetapi dalam masa sama penuh dengan gambar untuk membantu para pembaca menjejak salasilah falsafah dengan lebih menarik dan menyenangkan.
Cetera Falsafah juga boleh menjadi pintu masuk untuk pelajar pelbagai peringkat mendekati ilmu falsafah.
Apakah kaedah untuk menarik minat pembaca generasi muda untuk meminati buku-buku falsafah?
Falsafah bukan suatu bidang yang mudah untuk difahami atau dipelajari. Mereka yang berminat untuk menekuni falsafah tentunya perlu memiliki daya fikir yang cerdas dan kritikal, sentiasa resah dan tertanya-tanya tentang fenomena di sekeliling mereka, dan perlu mendengar dan membaca buku.
Namun, tidak cukup dengan memiliki ketiga-tiga syarat itu sahaja.
Pembaca generasi muda perlu sentiasa menyertai perbualan falsafah, mendapatkan bimbingan dan pencerahan daripada mereka yang lebih memahami dan berkongsi pemahaman mereka dengan orang lain.
Bukankah terjemahan buku falsafah Barat menimbulkan kontroversi kerana rakyat khususnya masyarakat Melayu fobia terhadap falsafah Barat?
Sebelum ini pun ada sejumlah buku falsafah Barat yang diterjemah dan tidak menjadi isu pun. Persoalan yang menjadi isu adalah (bagaimana) hendak menarik minat pembaca terhadap falsafah.
Justeru, IBDE hadir dengan persembahan terjemahan yang anggun dan indah.
Falsafah Barat sering dikaitkan dengan fahaman liberal. Ada atau tidak, buku terjemahan IBDE dikaitkan dengan isu itu?
Tanggapan sedemikian (kaitan dengan fahaman liberal) sangat rapuh. Kadangkala, ia digunakan sesetengah pihak untuk menuduh, memomok, dan menamatkan sebarang perbincangan dan dialog.
Malah, tanggapan liberal lawan konservatif semakin tidak relevan dalam dunia yang lebih cair budaya dan pemikirannya seperti hari ini.
Ada sahaja buku-buku yang kami terjemah dianggap beraliran liberal, tetapi bukan itu yang kami pentingkan.
Bagi kami, buku-buku dari pelbagai aliran dan berkualiti tulisannya layak untuk diterbit dan dibahaskan oleh orang ramai sehingga kita mampu menjadi orang yang tidak lagi takut dengan label liberal, konservatif ataupun kafir.
Apakah harapan IBDE terhadap buku-buku falsafah yang diterbitkan?
Buku-buku falsafah yang terbitan IBDE menyasarkan masyarakat umum tetapi memberi lebih tumpuan kepada kelompok pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Kami berharap dengan penerbitan buku falsafah Timur dan Barat ini, pemahaman pembaca terhadap pelbagai aspek kehidupan dapat diperdalam lagi, sekaligus menyuburkan budaya ilmu di negara ini, khususnya di Selangor.
Kami juga menerbitkan semula dan mencetak ulang beberapa judul falsafah dengan wajah baru yang lebih segar dan menarik.