EXCO

EXCO: Lembah Klang Raya berpotensi jadi gagasan ekonomi Asia Tenggara

27 Nov 2024, 2:30 PM
EXCO: Lembah Klang Raya berpotensi jadi gagasan ekonomi Asia Tenggara
EXCO: Lembah Klang Raya berpotensi jadi gagasan ekonomi Asia Tenggara

SHAH ALAM, 27 NOV: Pembangunan Lembah Klang Raya 2035 berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama sekali gus mampu bersaing dengan bandar besar di rantau Asia Tenggara.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata projek yang menggabungkan empat bandar utama iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang bertujuan menjadikan semua kawasan itu mempunyai nilai metropolis yang tinggi.

“Pembangunan Lembah Klang Raya sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pelbagai inisiatif sedang dirangka untuk menyelaraskan undang-undang dan garis panduan bagi memastikan pembangunan yang mampan dan teratur di keempat-empat bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Ahmad Yunus Hairi yang ingin mengetahui status pembangunan Lembah Klang Raya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_674036" align="aligncenter" width="1027"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim pada sesi soal jawab ketika Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pada masa sama, Suee Lim memberitahu Pejabat Urus Setia Sementara Selangor Greater Klang Valley (SGKV) 2035 melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kini dalam proses lantikan perunding untuk menyediakan Plan Rancangan Pembangunan Komprehensif yang akan dijadikan sebagai blueprint.

“Kajian penandarasan dan penggubalan enakmen juga sedang dibuat. Kedua-dua dokumen ini dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2025.

“Pejabat Urus Setia Sementara Selangor SGKV 2025 juga sedang menyelaraskan proses inventori bagi mengenal pasti beberapa tapak yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek berimpak tinggi,” jelasnya.

Lembah Klang Raya diumum menerusi Belanjawan 2024 pada November tahun lalu dengan peruntukan RM2 juta bagi menggabungkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilapor berkata Lembah Klang Raya berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan mampu tersenarai antara lima lembah utama di Asia.