SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras serta memperkukuhkan amalan kerja 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata berkata Jawatankuasa Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Terbaik PBT yang ditubuhkan 1 April lalu dipengerusikan olehnya selain dianggotai empat penyelidik.
Jelas Dato’ Suee Lim, jawatankuasa tersebut turut menumpukan 12 perkara ke arah merealisasikan Lembah Klang Raya, iaitu gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi bandar metropolitan.
"Ia juga untuk menyeragam fungsi PBT terutama mengatasi isu birokrasi. Setakat November, lapan sesi libat urus telah diadakan melibatkan ahli dewan negeri, ahli majlis PBT dan pemegang taruh untuk mendapat pandangan yang konstruktif.
“Negeri mahu memastikan semua karenah birokrasi di peringkat PBT boleh diselesaikan kerana ada banyak pencegahan berkaitan pelaksanaan kelulusan kebenaran merancang, akta dan sebagainya,” katanya.
Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Annex, Suee Lim memberitahu perkara pertama yang diambil kira oleh jawatankuasa ini memudah cara pelaksanaan perancangan dan kawalan pembangunan oleh PBT.
“Ia termasuk membuat Dasar Speed Selangor bagi memendek tempoh kelulusan kebenaran merancang di kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari mengikut syarat kriteria yang ditetapkan.
“Selain itu, di bawah perkara pertama ini juga menyeragamkan prosedur permohonan kebenaran merancang yang ingin mendirikan bangunan industri secara ‘fast track’, iaitu kelulusan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari,” jelasnya
Berikut 12 perkara yang menjadi fokus Jawatankuasa Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Terbaik PBT:
- Perancangan dan kawalan pembangunan (memberi tumpuan pelaksanaan Dasar Speed Selangor)
- Menetapkan garis panduan perancangan dan pembangunan tanah
- Memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
- Pematuhan penguatkuasaan dan perundangan (Akta 171, Akta 172, Akta 133, Kanun Tanah Negara)
- Melaksana konsep pembangunan bandar pintar, bandar sejahtera dan bandar selamat
- Menyelaraskan pembangunan persempadanan
- Menyediakan buku panduan dan pelan setara semua PBT di Selangor
- Mewujudkan pangkalan data untuk memastikan perunding dan kontraktor mematuhi standard kerja yang tinggi serta integriti dalam setiap peringkat pelaksanaan projek.
- Memaksimumkan sumber kewangan seperti wang tidak dituntut, cukai pintu, caj pemajuan serta caj infrastruktur sokongan fizikal (ISF)
- Semua PBT bandar raya mengguna pakai sistem perlesenan dengan aplikasi digitalisasi
- Urusan penyelenggaraan
- Keupayaan sumber manusia diperkasakan melalui latihan dan pengembangan kompetensi yang berterusan


