AGENDA

MB: Persempadanan Selangor-KL dijangka dimuktamad dua tahun lagi

27 Nov 2024, 9:05 AM
MB: Persempadanan Selangor-KL dijangka dimuktamad dua tahun lagi
MB: Persempadanan Selangor-KL dijangka dimuktamad dua tahun lagi

SHAH ALAM, 27 NOV: Persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) sedang melaksana kerja pengukuran yang akan disusuli dengan perjanjian bersama.

“Kita telah sampai tahap proses pengukuran yang dibuat Jupem. Selepas proses itu diluluskan, baru kita tandatangani perjanjian dan muktamadkan sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Cuma kita mahu elakkan (sempadan) melintasi dapur rumah, beranda rumah, termasuk premis tertentu. Kita akan cuba jelaskan sempadan,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan van kutipan hasil cukai tanah dan cukai petak kepada pejabat daerah dan tanah Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_675164" align="aligncenter" width="813"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) pada Majlis Penyerahan Van Kutipan Hasil Cukai Tanah dan Cukai Petak untuk sembilan Pejabat Daerah dan Tanah Selangor di luar Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Bagi pelaksanaan projek Lembah Klang Raya, Amirudin menjelaskan persempadanan dijangka melibatkan radius lima hingga 10 kilometer (km) bagi memenuhi desakan pembangunan.

Menurutnya, perbincangan sedang dilaksana dengan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa bagi menyelaras pentadbiran yang perlu dilengkapkan bersama.

“Kita akan cuba tengok radius lima hingga 10km daripada sempadan kita di Ampang, Gombak, Cheras, Kajang dan Petaling. Mungkin kita boleh selaraskan pembangunan kerana ada keperluan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin ketika berucap di DNS memaklumkan Kerajaan Negeri tidak berhasrat menuntut kembali Kuala Lumpur bagi menghormati perjanjian penyerahan yang ditandantangani pada Februari 1974.

Jelasnya, perjanjian berkenaan tertakluk kepada dua syarat iaitu keberadaan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kedudukan bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

“Belum boleh lagi (tuntut Kuala Lumpur). Kita tunggu mana-mana pemimpin mahu alih Parlimen, dan kita boleh memohon semula Kuala Lumpur sebagai daerah kembali ke Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Gasing R Rajiv berhubung cadangan mengambil semula Kuala Lumpur sebagai sebahagian projek Lembah Klang Raya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, pentadbiran negeri berhasrat membangunkan pelan tindakan Lembah Klang Raya 2035 termasuk membentang enakmen baharu bagi merealisasi bandar metropolitan pertama negara.

Inisiatif itu bagi memperkukuh keperluan empat bandar raya utama negeri iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang yang akan dilaksana dengan peruntukan RM3 juta.